top of page

Dua ADUN PN N Sembilan berkecuali, tidak lagi sokong BN

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 11 hours ago
  • 2 min read

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad dari Perikatan Nasional (PN) mengumumkan pendirian berkecuali dalam kemelut politik yang sedang melanda Negeri Sembilan.


Ridzuan berkata, keputusan itu diambil setelah mempertimbangkan secara mendalam kepentingan rakyat serta kestabilan negeri dan negara secara keseluruhan.


"Adalah menjadi keutamaan saya untuk memastikan bahawa keadaan politik kekal stabil dan tidak menjejaskan pemulihan serta pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam suasana semasa yang mencabar.


"Saya berpandangan bahawa penukaran kepimpinan kerajaan negeri pada waktu ini adalah tidak sesuai dan berpotensi menimbulkan ketidakstabilan yang merugikan rakyat.


"Selain itu, saya berpendapat bahawa sebarang perubahan besar dalam landskap politik sewajarnya diserahkan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya umum akan datang, dan bukannya dilakukan dalam keadaan semasa yang boleh mencetuskan ketidaktentuan," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam perkembangan sama, ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker dari Perikatan Nasional turut mengambil pendirian berkecuali dalam krisis politik di negeri berkenaan.


Beliau berkata, pendirian itu dibuat selepas pertimbangan teliti dan menyeluruh dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta keperluan mendesak untuk memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.


"Keutamaan kami adalah memastikan suasana politik kekal kondusif agar tidak menjejaskan usaha pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam keadaan semasa yang penuh cabaran.


"Dalam masa yang sama, kami berpandangan bahawa pendirian UMNO di peringkat nasional mahupun di Negeri Sembilan ketika ini dilihat tidak konsisten dan berpotensi mengelirukan rakyat.


"Malah, pendekatan yang diambil seolah-olah lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding kepentingan rakyat secara keseluruhan.


"Sehubungan itu, kami menegaskan bahawa sebarang perubahan besar dalam landskap politik negeri wajar dikembalikan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya umum atau pilihan raya negeri yang akan datang, dan bukannya dilaksanakan dalam suasana yang boleh menjejaskan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan.


Minggu lalu, lima ADUN PN Negeri Sembilan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri dengan membentuk kerajaan baharu dan menggantikan Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin Harun dari Pakatan Harapan.


Perkembangan itu menyusul selepas kesemua 14 ADUN BN yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, mengumumkan penarikan sokongan serta hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.


Dengan perkembangan terbaharu ini, kerajaan baharu tidak mungkin terbentuk di Negeri Sembilan kerana tidak cukup jumlah ADUN untuk sekurang kurangnya mendapat majoriti mudah 19 kerusi DUN.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page