Dr Zaliha sokong usaha komuniti jaga kesihatan warga emas
- Suara Keadilan
- Jul 6
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyatakan sokongan terhadap program-program komuniti yang memberi fokus kepada penjagaan kesihatan warga emas.
Jelasnya, usaha membina masyarakat yang lebih sihat, inklusif dan saling menyokong seperti itu sangat bermakna bagi golongan warga emas yang semakin ramai sementelah Malaysia menuju negara menua.
"Saya di Parlimen Sekijang bersama-sama lebih 300 peserta Kursus Longevitologi di Dewan Serbaguna Kampung Abdullah.
"Majoriti peserta adalah warga emas yang aktif menjaga kesihatan melalui latihan dan amalan yang berterusan. Saya amat menghargai semangat mereka kerana ia mencerminkan kesungguhan untuk terus sihat dan berdaya sepanjang usia," katanya dalam satu perkongsian di Facebook.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) sementara itu berkata, budaya menjaga kesihatan dan memelihara ketenangan jiwa sering menjadi nasihat penting dalam masyarakat Tionghua sebenarnya boleh dikongsi oleh semua kaum di Malaysia.
"Apabila tubuh berada dalam keadaan sihat dan fikiran kekal tenang, hubungan sesama masyarakat akan menjadi lebih harmoni dan penuh persefahaman," ujarnya.
Dr Zaliha sementara itu turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program tersebut.
Beliau turut berharap ia dapat diperluas ke lebih banyak kawasan di Parlimen Sekijang supaya lebih ramai warga emas dapat hidup sihat, dihargai dan terus aktif menyumbang kepada masyarakat.
Comments