Dr Wan Azizah seru perkukuh nilai kekeluargaan MADANI
- Suara Keadilan
- May 19
- 1 min read

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru orang ramai terus menghargai peranan dan pengorbanan ibu bukan hanya pada tarikh tertentu, tetapi setiap hari melalui sokongan, kehadiran dan doa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, nilai kekeluargaan perlu terus diperkasa selaras agenda Malaysia MADANI yang menekankan institusi keluarga sebagai asas kepada masyarakat sejahtera, inklusif dan stabil.
"Tema sambutan Hari Keluarga Antarabangsa tahun ini, Dasar Berorientasikan Keluarga untuk Pembangunan Lestari, bertepatan dengan aspirasi negara ke arah pembangunan menyeluruh.
"Ini amalan di peringkat antarabangsa yang turut dipersetujui oleh Malaysia. Kita mahu pembangunan negara berteraskan nilai MADANI yang menitikberatkan pembangunan modal insan, bukan hanya fizikal," katanya dipetik.
Dr Wan Azizah berkata begitu ketika merasmikan program Sentuhan Kasih Ibu sempena Hari Keluarga Parlimen Bandar Tun Razak, bersempena sambutan Hari Ibu 2025 pada Ahad.
Program Sentuhan Kasih Ibu merupakan simbolik penghargaan terhadap jasa dan peranan ibu sebagai tunjang keluarga serta membuktikan pentingnya kolaborasi strategik antara agensi dan masyarakat dalam memperkukuh institusi kekeluargaan negara.
Dianjurkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi LPPKN, Juwairiya Zulkifli; Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Ir. Hayatul Kamil Termudi.
Antara pengisian acara itu antaranya program seperti saringan kesihatan percuma, saringan kanser reproduktif wanita, pertandingan kekeluargaan, aktiviti interaktif ibu dan anak, zumba serta sudut penghargaan khas buat ibu.
Comments