Dr Wan Azizah seru perkukuh budaya kebajikan, kepercayaan awam
- Suara Keadilan

- Nov 1
- 1 min read

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru semangat bantu membantu sesama insan terus diperkukuh bagi membina negara MADANI yang berteraskan nilai kemanusiaan dan integriti.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, usaha membantu golongan memerlukan akan menjadi lebih berkesan sekiranya masyarakat menaruh kepercayaan terhadap organisasi kebajikan yang mengurus sumbangan awam secara telus.
"Membantu orang lain adalah nilai penting dalam kehidupan yang ingin kita tanamkan di negara kita untuk meringankan beban mereka yang memerlukan," katanya dipetik.
Terdahulu, Dr Wan Azizah hadir ke majlis penyerahan sumbangan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam satu acara di Hospis Malaysia, Cheras pada Jumaat.
Majlis tersebut menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM2.1 juta kepada lima penerima, termasuk Hospis Malaysia, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Kolej Universiti New Era, Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF).
Sumbangan tersebut sebagai menunaikan janji Lim untuk menyalurkan semula RM2 juta hasil sumbangan awam diterimanya bagi menampung kos kes Mahkamah sebelum ini.
Sementara itu Dr Wan Azizah menghargai komitmen Lim menyalurkan semula sumbangan orang ramai kepada tujuan kebajikan.
Keputusan tersebut jelasnya menggambarkan kebertanggungjawaban serta keprihatinan selaras semangat MADANI yang diperkenal kerajaan.
"Saya ucap terima kasih kepada Lim kerana memilih untuk berkongsi manfaat ini demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Pada acara sama, Dr Wan Azizah turut memuji Hospis Malaysia atas dedikasinya dalam menyediakan penjagaan kesihatan komuniti yang berkualiti.
Justeru, lebih banyak organisasi amal diseru untuk menunjukkan prestasi yang baik bagi mengekalkan kepercayaan orang ramai.









Comments