Dr Wan Azizah lancar skuad sukarelawan Puspanita
- Suara Keadilan

- Jun 26
- 1 min read

Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) melancarkan Skuad Sukarelawan Puspanita sebagai inisiatif baharu memperkasa penglibatan wanita penjawat awam dalam kerja kemanusiaan dan bantuan bencana.
Penaung Puspanita, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata skuad tersebut selari dengan nilai Ihsan dan Hormat dalam kerangka Malaysia MADANI, dan bakal memberi impak besar kepada masyarakat.
"Skuad ini akan menumpukan kepada kerja-kerja sukarelawan dengan kerjasama pihak-pihak berwajib dan komuniti.
"Kita berhasrat mahu melihat lebih ramai ahli Puspanita tampil memberi khidmat kepada rakyat," katanya dipetik.
Dr Wan Azizah berkata begitu dalam ucapan perasmian Majlis Penutupan Mesyuarat Agung Perwakilan (MAP) Puspanita ke-43 serta pelancaran Skuad Sukarelawan Puspanita di Putrajaya pada Rabu.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara yang juga Penasihat Puspanita Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Maheran Jamil serta lebih 500 perwakilan Puspanita.
Sementara itu dalam ucapannya Dr Wan Azizah menyatakan pengiktirafan atas sumbangan besar penjawat awam wanita, yang kini membentuk lebih 30 peratus pembuat keputusan dalam sektor awam.
"Wanita kini memainkan peranan semakin signifikan dalam sektor awam, termasuk dalam penggubalan undang-undang, pembangunan dasar dan tadbir urus negara.
"Sokongan padu daripada semua pihak amat penting bagi memastikan setiap agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan berintegriti," tambahnya.
Dr Wan Azizah sementara itu turut menyeru penjawat awam wanita agar bersedia menghadapi cabaran era digital dengan memanfaatkan teknologi seperti AI, sambil berwaspada terhadap kesan negatifnya demi kesejahteraan diri, keluarga dan rakan sekerja.









Comments