Dr Wan Azizah gesa kerjasama semua pihak lindungi hak kanak-kanak
- Suara Keadilan

- Nov 24
- 1 min read

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru semua pihak memainkan peranan dalam melindungi hak dan keselamatan kanak-kanak.
Tegasnya, langkah tersebut amat penting bagi memastikan kanak-kanak membesar dengan baik, sekali gus memenuhi potensi diri mereka demi masa depan bersama.
"Anak-anak adalah masa depan negara, generasi pewaris yang akan membina masa depan.
"Kita perlukan kerjasama semua pihak supaya setiap inisiatif benar-benar berkesan. Sebarang aduan mengenai penganiayaan kanak-kanak harus disalurkan melalui saluran sah dan tidak diabaikan," kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu dipetik.
Dr Wan Azizah sebelumnya berucap merasmikan Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Ahad.
Sambutan dengan tema “Suaraku Melambangkan Tekad” itu memberi penekanan kepada hak kanak-kanak untuk didengar, dirunding, dan diambil kira dalam setiap keputusan.
Sementara itu menurut Dr Wan Azizah, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM9 juta bagi program pembangunan kanak-kanak serta sokongan sosial setempat.
Pelbagai inisiatif telah dirangka untuk memastikan kebajikan kanak-kanak terus terpelihara.
Inisiatif tersebut antaranya, pelaksanaan mahkamah bergerak khas kanak-kanak, mempercepatkan pengurusan kes di mahkamah, melindungi identiti dan emosi kanak-kanak mangsa jenayah serta memperkasa bahagian siasatan seksual wanita dan kanak-kanak.









Comments