DKU iktiraf Undang baharu Sungei Ujong, Rembau, Undang Jelebu kosong
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 3 min read

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan mengesahkan pengiktirafan pelantikan Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Rembau yang baharu, selain memutuskan bahawa jawatan Undang Luak Jelebu adalah kosong selepas menerima keputusan pemecatan penyandangnya mengikut adat.
Perkara itu diputuskan dalam Persidangan DKU pada 16 Safar 1448 Hijrah bersamaan 31 Julai 2026 yang dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Persidangan tersebut turut dihadiri Yang Teramat Mulia Undang Luak Sungei Ujong, Yang Teramat Mulia Undang Luak Rembau dan Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, sekali gus memenuhi syarat korum sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal 20 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Dalam kenyataan rasmi, DKU memaklumkan ia menerima dan merakamkan Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Sungei Ujong membabitkan Yang Teramat Mulia Dato’ Klana Petra Muhammad Faris Johari pada 27 Jun 2026 serta menasihatkan supaya beliau diiktiraf sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang dilantik secara sah mengikut Adat Luak Sungei Ujong.
"DKU turut menerima dan merakamkan Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Rembau melibatkan Yang Teramat Mulia Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid pada tarikh sama serta menasihatkan supaya beliau diiktiraf sebagai Undang Luak Rembau yang dilantik secara sah mengikut Adat Luak Rembau," kata kenyataan tersebut.
Persidangan itu juga menerima makluman daripada Ibu Soko dan Anak Waris Ayer Luak Sungei Ujong bahawa penyandang pusaka Yang Amat Mulia Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid, telah dilucutkan menurut adat berkuat kuasa 30 Julai 2026.
Sehubungan itu, DKU memaklumkan jawatan Datuk Shahbandar Sungei Ujong adalah dengan sendirinya kosong selaras dengan Perkara XV(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, manakala proses pelantikan penyandang baharu masih belum selesai.
Mengenai Luak Jelebu, DKU memaklumkan Yang di-Pertuan Besar telah menguatkuasakan Fasal 24 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dengan mempersilakan wakil-wakil Ibu Soko Waris Berundang menghadiri Persidangan Khas DKU.
"Selepas menguruskan aduan daripada Luak Jelebu, pihaknya menerima kesepakatan Waris, Anak Buah dan Ibu Soko Waris Berundang daripada tiga Perut Kemin, iaitu Kemin Teriang, Kemin Beringin dan Kemin Bemban, untuk memecat Datuk Maarof Mat Rashad sebagai Penyandang Pusaka Undang Luak Jelebu Yang Ke-16 berkuat kuasa mulai 31 Mei 2023 atas kesalahan-kesalahan adat yang dihuraikan," kata kenyataan itu lagi.
DKU turut memutuskan bahawa jawatan Undang Luak Jelebu adalah dengan sendirinya kosong, manakala segala tindakan yang dibuat oleh Dato’ Maarof selepas 31 Mei 2023 dianggap tidak sah.
Persidangan itu juga memutuskan Darjah Tertinggi Negeri Sembilan (DTNS) yang digunakan beliau semasa menyandang jawatan tersebut turut gugur.
Kerajaan Negeri adalah diarahkan untuk mengambil tindakan-tindakan sewajarnya melaksanakan pertimbangan-pertimbangan DKU seperti di atas.
Akhir sekali, pengumuman dalam dokumen yang bertarikh 19 April 2026 telah dibawa kepada perhatian DKU.
DKU menasihatkan dan mengisytiharkan bahawa pengumuman tersebut adalah tidak berperlembagaan dan melanggar Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, dan oleh itu adalah tidak sah serta tidak mempunyai apa-apa kesan.
DKU selanjutnya menasihatkan dan memutuskan bahawa orang-orang yang kononnya memegang jawatan Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu, iaitu masing-masing Mubarak Thahak, Abdul Rahim Yasin dan Maarof Mat Rashad, pada setiap masa yang material, telah terhenti daripada memegang atau tidak pernah secara sah memegang jawatan masing-masing.
Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Jelebu masing-masing telah diberhentikan menurut adat luaknya pada tarikh yang terpakai baginya, dan kononnya Undang Luak Rembau tidak pernah dilantik secara sah menurut adat yang dikehendaki, pelantikannya tidak pernah disempurnakan melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang, dan bahawa, mereka oleh yang demikian tidak mempunyai apa-apa kuasa di sisi undang-undang untuk melaksanakan apa-apa kuasa di bawah Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.




Comments