Dialog Usahawan Madani Melaka perkukuh ekosistem keusahawanan
- Suara Keadilan
- 44 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Shaiful Annuar S
Program Dialog Usahawan Madani Melaka 2025 yang dianjurkan oleh NGO GASAK dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), dengan kerjasama Unifi Business dan Agrobank, berlangsung dengan jayanya apabila menghimpunkan usahawan, agensi kerajaan serta kerajaan negeri dalam satu platform perkongsian berimpak tinggi.
Majlis perasmian program ini disempurnakan oleh Exco Kerajaan Negeri Melaka, Alex Tan, yang menzahirkan sokongan penuh Kerajaan Negeri terhadap pembangunan usahawan tempatan.
Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia membantu pemain industri melalui fasiliti UTC One Stop Center yang menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan perniagaan.
Sementara itu, Pengerusi INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub, turut merakamkan penghargaan kepada peserta dan pasukan penganjur, khususnya GASAK Melaka, atas komitmen menganjurkan program berimpak besar bagi komuniti usahawan negeri.
"Hubungan strategik antara kerajaan negeri dan usahawan lokal menjadi faktor penting memastikan mereka mendapat maklumat tepat serta akses kepada geran, latihan dan bimbingan," ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa platform dialog seperti ini memainkan peranan besar dalam memperkukuh jaringan antara usahawan dan agensi kerajaan, sekali gus membuka peluang kerjasama yang lebih luas serta memudahkan akses kepada bantuan teknikal dan kewangan.
Dalam sesi rumusan, Mustaffa turut memaklumkan bahawa INSKEN sedang melaksanakan program inkubator Pembangunan Usahawan Madani, yang memberi fokus kepada peningkatan kapasiti serta daya saing usahawan ke peringkat lebih tinggi.
Secara keseluruhan, program ini berjaya menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa komuniti usahawan Melaka dan memperkukuh ekosistem keusahawanan negeri melalui kerjasama strategik pelbagai pihak.





