Terputusnya bekalan ayam segar di beberapa kawasan dan melambungnya harga pelbagai barang keperluan harian menimbulkan tanda tanya apakah kekurangan Malaysia.
Bagi Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, bumi Malaysia sangat subur dan curahan hujan lebat sehingga dilanda banjir tidak sewajarnya mengalami kekurangan makanan sehingga terputus bekalan.
"Bumi Malaysia ini tanahnya subur, lautan terbentang luas. Namun di mana silapnya hingga kerajaan gagal untuk menyelia dan menjamin sekuriti makanan hingga terjadi kenaikan harga bahan mentah yang melampau?
"Daging mahal, disuruh bertukar ke ayam. Ayam mahal atau tiada disuruh bertukar ke ikan. Sekarang bukan hanya ikan sardin, tepung gandum juga melonjak harga," katanya.
Justeru, kepada penduduk di parlimen Hang Tuah Jaya beliau berpesan agar segera mengadu sebarang kekurangan barang keperluan untuk dibantu oleh pusat khidmat parlimen tersebut.
"Kepada orang Melaka terutamanya di bawah parlimen Hang Tuah Jaya, jika ada apa apa permasalahan atau keperluan, sila tampil dan hubungi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya.
"InshaAllah kami akan cuba santuni sedaya mungkin. Ini hanya inisiatif kecil dari saya dalam memastikan kelestarian hidup penduduk sekitar Hang Tuah Jaya," katanya lagi.
Kommentare