Dewan Rakyat lulus Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, RUU penting
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 1 min read

Persidangan minggu keempat Dewan Rakyat menyaksikan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja diluluskan selepas semua kementerian serta Jabatan Perdana Menteri selesai menggulung perbahasan masing-masing.
Usul yang dibahaskan 150 Ahli Parlimen sejak 20 Januari lalu itu menyaksikan sesi penggulungan kementerian bermula 4 Februari hingga Selasa lalu, sebelum diluluskan dengan lebih suara bersetuju.
Dalam persidangan sama, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025.
RUU berkenaan bertujuan menyokong usaha Malaysia meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perjanjian penyelesaian hasil pengantaraan, atau lebih dikenali sebagai Konvensyen Singapura yang ditandatangani negara pada 2019.
Turut diluluskan ialah RUU Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru–Singapura 2026 bagi memperkukuh asas perundangan operasi sistem pengangkutan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.
Terdahulu pada 19 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 yang berlangsung selama 20 hari sehingga 3 Mac.
Sepanjang sesi penggulungan minggu ini, beberapa isu turut menjadi tumpuan antaranya mengenai pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Kementerian Dalam Negeri memaklumkan proses pindaan itu akan dimulakan tidak lama lagi susulan telah mendapat kelulusan dasar Jemaah Menteri minggu lalu.
Selain itu, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa pihaknya sedang meneliti aspek teknikal susulan keputusan mewajibkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan bagi semua aliran pendidikan.
Persidangan minggu ini juga menyaksikan pembentangan bacaan kali pertama RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 serta RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026.
Dewan Rakyat akan bersambung semula pada 23 Februari ini selepas memberi laluan kepada sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan minggu hadapan.









Comments