Dewan Negara lulus RUU Jenayah Siber 2026


Dewan Negara pada Isnin meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Jenayah Siber 2026 selepas ia dibahaskan oleh 21 ahli dewan.
RUU berteraskan pendekatan teknologi neutral itu bertujuan memperkukuh keupayaan negara dalam menangani ancaman siber yang semakin kompleks tanpa memerlukan pindaan yang kerap di Parlimen.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, RUU tersebut turut melengkapkan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) serta Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2025-2030 selari usaha kerajaan membina ekosistem digital yang lebih selamat, berdaya tahan dan berdaulat.
"RUU ini tidak mengawal selia teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) atau teknologi mendalam (deep tech) secara khusus. Sebaliknya, memberi tumpuan kepada tindakan undang-undang terhadap penyalahgunaan teknologi tersebut bagi tujuan jenayah seperti penipuan, manipulasi pilihan raya dan eksploitasi seksual.
"Kerajaan memberi jaminan bahawa penguatkuasaan RUU ini tidak akan menyekat kebebasan bersuara, kebebasan media mahupun penyelidikan akademik yang dijalankan secara sah di sisi undang-undang," katanya dipetik laporan media.
RUU Jenayah Siber 2026 mengandungi lapan bahagian dan 61 fasal digubal bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997. Ia sekali gus memperkukuh kerangka perundangan negara dalam menangani ancaman jenayah seiring perkembangan teknologi semasa.
Mengulas aspek penguatkuasaan rentas sempadan, Rubiah menegaskan kesemua kesalahan di bawah RUU itu secara automatik memenuhi syarat untuk diekstradisi mengikut Akta Ekstradisi 1992 (Akta 479).
Beliau turut menolak kebimbangan berhubung kemungkinan salah guna kuasa oleh agensi penguat kuasa dan menegaskan bahawa mekanisme semak dan imbang telah disediakan melalui Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
"Selain itu, kuasa pemintasan komunikasi tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya kerana memerlukan kelulusan bertulis daripada Pendakwa Raya yang diturunkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Kanan," tambahnya.



Comments