
Desakan Bersatu untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) lebih kepada percubaan untuk mendapatkan keuntungan politik.
Menurut Unit Komunikasi KEADILAN Cabang Kemaman, desakan penubuhan RCI tersebut sepatutnya telah dilakukan sejak 4 Ogos lalu sebaik sahaja skandal dibongkar, bukan selepas pihak lain mencadangkannya.
"Cadangan penubuhan RCI oleh Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, KEADILAN Cabang Kemaman dengan tegas menyatakan ini hanyalah sandiwara politik murahan Bersatu.
"Bersatu cuba untuk menjuarai isu skandal LCS ini sedangkan pada hakikatnya cadangan penubuhan RCI telah pun dikemukakan oleh Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kemaman melalui unit penerangan AMK. Kenyataan tersebut telah disiarkan dalam portal Suara Keadilan pada 5 Ogos lalu
"Kenyataan Ketua Penerangan Bersatu itu dimuatnaik dalam portal Malaysiakini pada 8 Ogos. Ini jelas satu gerakan politik murahan daripada Bersatu untuk meraih sokongan rakyat," kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, sewajarnya pemimpin Bersatu yang mempunyai kuasa mengarahkan mana mana agensi penguatkuasaan di bawah mana mana kementerian menyiasat skandal berkenaan atau mengancam menarik sokongan ke atas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sekiranya menolak satu siasatan bebas dilakukan.
"KEADILAN Kemaman dengan ini mengingatkan pihak Bersatu supaya jangan menangguk di air keruh, usah bermain politik murahan semata-mata untuk menyucikan pengkhianatan yang telah dibuat kepada kerajaan Pakatan Harapan dahulu.
"Perlu diingat Bersatu adalah sebahagian daripada kerajaan yang memerintah sekarang. Jika benar-benar jujur dalam perjuangan, segera tarik sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri. Jangan berpencak di gelangang orang lain jikalau langkah sumbang," kata kenyataan itu lagi.