Derma Najib: Pandangan Ummi Umairah mahasiswa berfikiran kritis


Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mempertahankan pandangan kritikal seorang mahasiswanya berhubung isu pengumpulan dana bagi membantu membayar denda RM50 juta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presidennya, Aiman Izzat Shamsuddin berkata, ruang soal jawab pada forum Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 digunakan Ummi Umairah Bakhit untuk mengemukakan pandangan kritikal sekaligus mencerminkan hak kebebasan bersuara dan kebebasan akademik mahasiswa.
"Mahasiswa berhak mengemukakan soalan kepada panelis berwibawa, termasuk pemimpin politik dan bekas menteri, khususnya berhubung isu semasa yang menjadi perbincangan masyarakat.
"Bagi saya, itu menunjukkan hak kebebasan bersuara dan juga hak kebebasan akademik. Apabila soalan itu ditanyakan dalam medium yang betul ia tidak ada sebarang masalah," katanya dipetik laporan media.
Kontroversi tercetus selepas Ummi Umairah menyuarakan pandangan bahawa tindakan menderma bagi membayar denda seterusnya membolehkan Najib menjalani tempoh penjara di rumah sebagai antara perkara paling bodoh pernah dilihat.
Pandangan tersebut mengundang reaksi dalam kalangan penyokong Najib dan Umno sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kebebasan mahasiswa menyuarakan pendapat dalam membincangkan isu politik dan kepentingan awam.
Selain pandangan tersebut, Ummi Umairah turut membangkitkan soalan bagaimana pemimpin masa depan boleh dididik supaya berani menentang rasuah dan feudalisme serta berfikir secara kritis berlandaskan fakta dan data.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, institusi pengajian tinggi seharusnya menjadi medan yang menggalakkan mahasiswa berfikir secara kritis, berani mengemukakan persoalan dan berhujah mengenai isu kepentingan awam.
Justeru beliau berpandangan, mahasiswa berhak mempersoalkan kewajaran tindakan mengutip derma bagi membantu bekas Najib.




Comments