Derma jihad: Jangan guna istilah suci bela kesalahan fitnah
- Suara Keadilan
- Dec 24, 2024
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) KEADILAN tampil bersuara mengenai perkataan 'Derma Jihad' yang didakwa digunakan Pas untuk membiayai bayaran ganti rugi Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad ke atas tiga pemimpin DAP.
Pengarah JPPA KEADILAN, Amidi Abdul Manan berkata, sekiranya benar perkataan 'Derma Jihad' digunakan, hal itu adalah sesuatu yang amat dikesali kerana penggunaannya tidak menepati kehendak Islam.
"Adakah benar satu surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyeru sumbangan bagi membayar saman sebanyak RM850,000 atas nama 'Derma Jihad'?
"Jika tidak, ia perlu dinafikan oleh pemimpin Pas dan jika benar (perkataan itu digunakan) ia suatu yang amat dikesali.
"(Sebab) kalimah jihad mempunyai konotasi yang rapat dengan agama Islam. Ia terkait dengan perjuangan suci menegakkan dan membela agama Islam," kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Amidi lagi, lebih sesuai digunakan perkataan 'Derma Selamatkan Kerusi Kepala Batas' berbanding 'Derma Jihad'.
Hal itu katanya, kerana saman yang dihadapi Dr Mastura adalah atas kesalahan fitnah, dan asas dalam Islam untuk menghulurkan bantuan adalah ke arah kebaikan atau taqwa.
"Fitnah dengan jelas membawa kepada keburukan dan permusuhan. Ia boleh menjejaskan kehormatan dan menjatuhkan maruah seseorang.
"Adakah ini 'jihad' yang dimaksudkan oleh Pas? Adakah Pas telah berubah menjadi parti yang mendukung fahaman 'asabiyah'?
"Jangan kaitkan kalimah jihad dengan gerakan pembelaan terhadap pemfitnah. Jumlah RM850,000 bukanlah kecil, tambahan pula ia akan dibayar kepada 'musuh' politik Pas iaitu pimpinan DAP," ujar beliau.
Dalam pada itu, Amidi juga menempelak sikap 'keras' Dr Mastura dalam kes saman tersebut.
"Semua orang boleh menilai keras kepala Dr Mastura, sedangkan beliau mempunyai peluang untuk memohon maaf atas kesilapan yang dilakukannya.
"Antara nama keluarga 'Lim' dan 'Lee' juga tidak dapat dibezakan, dan lebih menyedihkan lagi ia berdasarkan satu sumber yang tidak boleh dipertahankan," katanya lagi.
Pada 4 Disember lalu, Dr Siti Mastura diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi George Town agar membayar ganti rugi berjumlah RM825,000 kepada veteran serta pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok atas kenyataannya mengaitkan mereka mempunyai pertalian dengan pemimpin komunis, mendiang Chin Peng.
Mahkamah memerintahkan Dr Siti Mastura membayar ganti rugi RM350,000 kepada Kit Siang, Guan Eng (RM250,000) dan Teresa Kok (RM200,000).
Comentarios