top of page

Dekati Gen Z, Gen Alpha: Perjuangan Reformasi harus sesuai semangat zaman

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Usaha mendekati generasi muda khususnya Gen Z dan Gen Alpha perlu menjadi keutamaan dalam memperbaharui perjuangan reformasi agar terus relevan dengan tuntutan semasa, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh.


Beliau berkata, gerakan reformasi tidak boleh terperangkap dalam acuan lama atau nostalgia sejarah semata-mata, sebaliknya perlu menyesuaikan pendekatan dengan perubahan zaman tanpa mengorbankan prinsip perjuangan yang menjadi asas sejak awal.


"Jika dahulu perjuangan dizahirkan melalui himpunan dan mobilisasi massa, hari ini peranan anggota parti berkembang selari dengan kemajuan teknologi, media sosial dan corak pemikiran generasi muda.


"Peranan kita berubah mengikut zaman, tetapi prinsip tidak berubah. Kita perlu memahami realiti generasi baharu tanpa terperangkap dalam nostalgia perjuangan lampau," katanya ketika ditemui pada Program Hari Keluarga & Rapat Reformis Kebangsaan 2026, baru-baru ini.


Syed Ibrahim menjelaskan bahawa perubahan landskap sosial dan politik, termasuk pengaruh teknologi serta media sosial, menuntut pendekatan baharu dalam menyampaikan mesej reformasi kepada generasi muda yang membesar dalam era digital.


"Hari ini medan perjuangan lebih luas termasuk di media sosial dan platform digital. Peranan kita berubah mengikut zaman, tetapi prinsip tidak berubah," ujar Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang.


Beliau menegaskan bahawa usaha mendekati Gen Z dan Gen Alpha mesti dilakukan dengan memahami realiti dan cara berfikir mereka, tanpa terperangkap dalam cara lama yang mungkin tidak lagi berkesan.


"Kita tidak boleh kekal dalam kepompong generasi lama. Dunia anak muda hari ini berbeza, ada TikTok, media sosial dan pelbagai bentuk komunikasi baharu.


"Kita mesti mendekati mereka dengan cara yang sesuai, tanpa mengubah dasar perjuangan," katanya.


Dalam masa sama, Syed Ibrahim menekankan kepentingan perpaduan dalaman parti sebagai tunjang kepada kelangsungan reformasi merentas generasi, berasaskan budaya saling menghormati, kasih sayang dan pengiktirafan terhadap sumbangan setiap anggota.


"Tidak semua orang menjadi menteri atau pemimpin tertinggi, tetapi setiap orang ada peranan dan jasa. Semua ada peranan masing-masing dan kita saling hormat-menghormati.  Ada kasih sayang dan jangan hentam-menghentam."


Beliau turut mengingatkan agar budaya lama yang pernah ditentang, seperti fitnah dan amalan mengampu demi kepentingan tertentu, tidak menjadi norma sehingga menjejaskan semangat reformasi yang tulen.


Dalam pada itu menurutnya, penganjuran Rapat Reformis Kebangsaan menjadi platform penting untuk merapatkan jurang antara generasi veteran dan generasi terkini, serta memindahkan nilai perjuangan agar terus hidup dalam konteks zaman baharu.


Program Hari Keluarga & Rapat Reformis Kebangsaan 2026 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM) pada 3 Januari lalu dihadiri oleh para aktivis Reformasi dari seluruh negara.


Program itu dilihat sebagai simbol pembaharuan perjuangan reformasi yang menyatukan pengalaman generasi lama dengan idealisme serta tenaga generasi muda, demi memastikan agenda keadilan, pembelaan rakyat dan penentangan terhadap kezaliman terus relevan pada masa hadapan.

1 Comment


Gwyneth Magnus
Gwyneth Magnus
a day ago

I agree with the PolyTrack view that for reforms to survive, they must speak the "language" of Gen Z and Gen Alpha. Maintaining core values ​​while changing the approach through digital platforms is mandatory, not an option.

Edited
Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page