top of page

MIC tidak sertai PN: Pembangkang terdesak cipta persepsi?

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Mar 18
  • 2 min read

Penafian MIC terhadap dakwaan menyertai Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja menafikan pengumuman awal Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, malah mendedahkan tindakan tergesa-gesa gabungan itu yang dilihat cuba mencipta persepsi 'kemenangan politik'.


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata, pengumuman yang seolah-olah 'mengumumkan kemenangan' itu ibarat belum duduk sudah terlunjur dan dilihat sebagai cubaan memadamkan berita kejayaan awal Rumah Bangsa dalam memperkukuh saf UMNO susulan kemasukan Khairy Jamaluddin (KJ) dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.


"Taki seperti terpaksa mengumumkan berita dari kilang proses budu yang diperap setahun lepas. Tindakan terdesak PN ini bukan sahaja mencalar kredibiliti, (tetapi) jelas menunjukkan inisiatif Rumah Bangsa UMNO cukup digeruni oleh PN.


"Hakikatnya, keputusan besar seperti penyertaan dalam gabungan politik tidak boleh dibuat secara 'semberono' atau diumumkan tanpa mandat rasmi MIC. (Presiden MIC) Datuk Seri M Saravanan sendiri menegaskan bahawa perkara ini masih belum diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).


"PN nampaknya begitu terdesak untuk menutup dua isu besar minggu ini. Pertama (tentang) kegagalan sidang media Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN dan kemasukan kembali KJ serta Hishamuddin ke dalam UMNO," katanya dalam satu kenyataan.


Lokman menegaskan, MIC tidak akan membuat keputusan secara terburu-buru, apatah lagi menyimpang daripada landasan asal perjuangannya.


Beliau yang juga Pengarah Komunikasi UMNO berkata, Barisan Nasional (BN) kekal sebagai wadah tradisi parti itu, dengan sejarah panjang telah membuktikan keserasian dan keutuhan hubungan tersebut.


Ujarnya, MIC juga sedar bahawa PN tidak mempunyai hala tuju yang meyakinkan untuk masyarakat berbilang kaum dan sejarah mengajar bahawa gabungan seperti MCA dan MIC bersama UMNO dalam Perikatan dahulu, wujud atas semangat kebersamaan untuk mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British.


"Bukan kecil anak ujian MIC dan sekutu rapatnya MCA bersama UMNO dalam Parti Perikatan yang menggunakan lambang Kapal Layar sebelum dinamakan BN.


"Itulah asas sebenar politik Malaysia, perpaduan, bukan percaturan sempit. MIC juga tahu, masa depan mereka tetap bersama BN, bukan eksperimen politik yang penuh ketidaktentuan yang mengadai prinsip kebersamaan.


"Nampak gayanya cubaan Pas untuk makan muruku cicah budu di Hari Raya Aidilfitri tidak berjaya. Kepada Pas jagalah Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) itu baik-baik, bimbang nanti dalam usaha untuk menawan hati MIC, MIPP pula yang lari dari rumah PN," katanya secara sinis.


Semalam, Saravanan berkata parti itu belum membuat sebarang permohonan rasmi untuk menyertai PN.


Beliau menjelaskan bahawa MIC masih belum memutuskan sama ada akan keluar daripada BN atau kekal bersama gabungan itu.


"Kami tidak membuat sebarang permohonan rasmi untuk menyertai PN.


"Sama ada kekal dalam BN atau menyertai mana-mana parti lain, keputusan itu masih belum dibuat," katanya dipetik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page