top of page

Bekas pemimpin Hindraf gagal cabar pelantikan Anwar sebagai PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Bekas menteri P. Waytha Moorthy gagal dalam cubaannya mencabar keabsahan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman yang difailkannya.


Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes tersebut kerana cabaran terhadap keputusan pilihan raya perlu difailkan melalui petisyen pilihan raya dan didengar oleh Mahkamah Pilihan Raya.


Menurut beliau, saman pemula itu “jelas tidak dapat dipertahankan” kerana bercanggah dengan prosedur yang ditetapkan undang-undang.


“Saman ini tidak dapat dipertahan atau dihujahkan... plaintif tidak mempunyai harapan untuk berjaya… oleh itu, permohonan bagi membatalkannya adalah dibenarkan.


“Mahkamah berpendapat permohonan ini merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah, bersifat remeh serta menyusahkan,” katanya dalam penghakiman yang dibacakan hari ini.


Mahkamah turut menegaskan sebarang cabaran terhadap keputusan pilihan raya atau pemilihan Ahli Dewan Rakyat perlu dibuat selaras dengan Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan iaitu melalui petisyen pilihan raya.


Beliau berkata Seksyen 33(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan bahawa petisyen pilihan raya hendaklah dibicarakan oleh hakim pilihan raya iaitu hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik oleh Ketua Hakim Negara untuk mendengar perkara sedemikian.


Dalam prosiding tersebut, plaintif didapati gagal mengemukakan asas kukuh untuk menyokong dakwaannya di bawah undang-undang pilihan raya sedia ada.


Dengan keputusan itu, Anwar kekal sebagai Ahli Parlimen Tambun dan terus memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.


Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Waytha Moorthy membayar kos sejumlah RM80,000 kepada Anwar.


Pada 12 Ogos tahun lalu, media tempatan melaporkan Waytha Moorthy memfailkan saman pemula bagi mendapatkan deklarasi bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022 adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.


Beliau turut memohon deklarasi bahawa pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 juga tidak berperlembagaan dan tidak sah.


Susulan itu, pada Oktober tahun lalu, Anwar memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut atas alasan ia melanggar pelbagai keperluan mandatori dari segi prosedur, perlembagaan serta peruntukan undang-undang yang ditetapkan bagi mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya.


Pihak pembelaan yang diketuai peguam Ranjit Sigh menegaskan isu kehilangan kelayakan tidak berbangkit memandangkan Anwar sudah menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 2018.


Pengampunan tersebut secara automatik membersihkan semua rekod sabitan dan mengembalikan hak beliau untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya tanpa sebarang sekatan undang-undang.


Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam hujah sokongannya turut menyebut tindakan plaintif menggunakan saman pemula adalah prosedur yang salah.

Mengikut Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, setiap cabaran terhadap keputusan pilihan raya mempunyai tempoh masa dan kaedah pemfailan yang khusus yang tidak dipatuhi dalam kes ini.


Waytha Moorthy pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) semasa pentadbiran kali kedua Tun Dr Mahathir Mahathir Mohamad selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.


Beliau dilantik sebagai Senator sebelum menyertai Kabinet namun meletak jawatan pada Februari 2020 ketika kemelut politik dikenali sebagai "Langkah Sheraton" yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.


Sebelum itu, beliau lebih dikenali sebagai pemimpin Hindraf yang memperjuangkan isu masyarakat kaum India di Malaysia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page