Deepavali wadah perkukuh perpaduan, rapatkan jurang kaum – Anwar


Sambutan Deepavali perlu dijadikan wadah mempereratkan perpaduan, merapatkan jurang antara kaum serta menyemai nilai ihsan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perayaan yang dikenali sebagai pesta cahaya itu membawa mesej kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan menundukkan keburukan serta ilmu membebaskan manusia daripada kejahilan dan keangkuhan.
Menurutnya, nilai saling menghormati, memahami dan menerima perbezaan perlu terus diperkukuh dalam masyarakat majmuk yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan tradisi.
"Jadikan sambutan ini sebagai wadah mempereratkan perpaduan, merapatkan jurang antara kaum serta menyemai nilai ihsan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan," katanya menerusi ucapan sempena sambutan Deepavali.
Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata, perayaan itu juga diharap dapat menyuntik semangat baharu dalam membina pemikiran masyarakat yang lebih terbuka, murni dan progresif.
Katanya, usaha berkenaan penting bagi mengangkat martabat rakyat serta memperkukuh keharmonian negara.
Beliau turut menyampaikan ucapan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat yang meraikannya.
"Semoga cahaya Deepavali terus menyinari kehidupan dengan kebahagiaan, kedamaian dan kesejahteraan.
"Deepavali Nalvaalthukkal!" katanya.




Comments