Debat menyumbang kematangan politik negara - Manivanan
- Suara Keadilan
- 12 minutes ago
- 1 min read

Undangan debat oleh pengendali podcast Team AMG yang mengundang pemimpin bertanding jawatan jawatan tinggi dalam KEADILAN sempena Pemilihan 2025 untuk berdebat, disambut baik.
Setiausaha Politik Pejabat Presiden KEADILAN, Manivanan Gowin mengesahkan beliau akan hadir dalam debat 'Berani Semuka: Apakah Komuniti Masyarakat India Terbela Di Bawah Kerajaan MADANI?'
Beliau menyifatkan, pentas perdebatan akan berupaya menjadi platform penting bagi mengetengahkan isu-isu yang melibatkan masyarakat India di bawah Kerajaan MADANI serta membuka ruang dialog yang lebih terbuka dan telus kepada rakyat.
''Saya dengan penuh rasa tanggungjawab dan komitmen terhadap perjuangan KEADILAN ingin memaklumkan bahawa saya bersetuju menyertai sebagai panel dalam rancangan debat ini.
''Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan ini serta kepercayaan yang diberikan kepada saya.
''Diharapkan program ini akan dapat memberi manfaat kepada semua yang menontonnya dan menyumbang kepada kematangan politik negara,'' katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Manivanan yang juga calon Naib Presiden KEADILAN (No 12) memohon kepada penganjur agar lokasi program dapat diadakan di tempat yang neutral demi memastikan suasana debat berlangsung secara adil dan profesional.
Berhubung tarikh dan masa pula, Ketua Cabang Jempol itu menyerahkan hal berkenaan kepada pihak penganjur mengikut kesesuaian mereka.
Lawan debat Manivanan dijangka adalah Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan berdasarkan hantaran di media sosial Iswardy Morni yang merupakan koordinator program berkenaan.