Dasar MADANI diiktiraf dunia: M'sia terajui agenda sisa sifar global
- Suara Keadilan

- Oct 21
- 2 min read

Malaysia terus menonjol di pentas antarabangsa apabila menerima Anugerah Penghargaan Khas Sifar Sisa Global — anugerah tertinggi daripada Zero Waste Foundation.
Anugerah bagi menghargai komitmen negara memacu pembangunan pengurusan sisa mampan dan prinsip ekonomi kitaran tersebut disampaikan Wanita Pertama Turkiye, Emine Erdogan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, semasa Forum Sifar Sisa Global 2025 di Istanbul pada Ahad.
"Pengiktirafan ini memperkukuh semangat kami untuk terus berusaha bersama masyarakat antarabangsa dalam memperjuangkan agenda sifar sisa sejajar mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
"Ini merupakan bukti keberkesanan dasar Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mentransformasi pengurusan sisa bandar, memperkukuh tanggungjawab terhadap alam sekitar dan menggalakkan penyelesaian inovatif menuju bandar mampan dan berdaya tahan," kata Kor Ming dipetik sebagai mengulas pengiktirafan itu.
Kepimpinan Malaysia dalam kelestarian dilihat melalui penubuhan pusat kitar semula, inisiatif Trash go Cash, serta pelancaran Pelan Induk Ekonomi Kitaran 2025-2035, yang mengutamakan tanggungjawab pengeluar, sistem pengesanan sisa berasaskan digital dan hab teknologi hijau bagi membina bandar lebih sihat dan berdaya tahan.
Selain itu, kempen Hari Cuci Malaysia (HCM) yang dilaksanakan bermula tahun lalu berjaya menggerakkan lebih 100,000 sukarelawan dan mencipta lima rekod kebangsaan, menandakan penyertaan rakyat yang semakin meluas dalam budaya sifar sisa.
Forum Sifar Sisa Global 2025 bertemakan Zero Waste in Action: People, Places, Progress itu menghimpunkan wakil dari lebih 104 negara termasuk 118 rakan organisasi antrabangsa, datuk bandar, duta dan wakil kanan daripada pelbagai institusi antarabangsa seperti UN-Habitat, Program Alam Sekitar PBB (UNEP) dan Program Pembangunan PBB (UNDP).
Semasa menyampaikan ucaptama penutup forum, Nga yang juga Presiden UN-Habitat turut menyeru semua 104 negara peserta mengintegrasikan prinsip sifar sisa dalam strategi iklim masing-masing serta memperkasa pihak berkuasa tempatan sebagai pelaksana utama dasar hijau.









Comments