
Setiap dasar yang diputuskan Kerajaan Perpaduan wajar mengamalkan keseimbangan sepertimana ditekankan dalam al-Quran, kata Perdana Menteri.
Dalam ucapannya di Majlis Nur Ramadan di Kuala Lumpur semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah mengambil pendekatan ditekankan Islam itu penting bagi memastikan pelaksanaan dasar secara menyeluruh kepada setiap lapisan masyarakat.
"Sebab itu tidak boleh langgar segala bukit bukau dirobohkan, pokok balak ditebang sesuka hati, jahanam kerana tiada equilibrium atau keseimbangan (diamalkan)...
"Bila kerosakan berlaku, (bencana) akan selalu menimpa rakyat terutama rakyat yang lebih rendah kedudukan mereka atau miskin.
"Apabila seseorang itu diamanahkan atau dilantik (sebagai) menteri, beliau mewakili semua rakyat maknanya keluhan rakyat mesti didengar dan dasar kerajaan mesti mengambil kira perimbangan yang disebut dalam al-Quran," katanya
Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Anwar menekankan, pemimpin Melayu dan Islam di negara ini tidak seharusnya hanya berbicara mengenai soal hidup bangsa Melayu dan berjuang menggunakan agama Islam.
Mereka sebaliknya perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada segenap lapis masyarakat.
"Biar orang tengok ada orang Melayu yang bersih dan tidak korup, menjaga serta prihatin terhadap nasib orang yang susah dan miskin," kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan wang tunai RM200 kepada 300 asnaf dan fakir miskin bagi Parlimen Lembah Pantai dengan jumlah keseluruhan penerima sumbangan Nur Ramadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tahun ini ialah 3,300 orang.