Dapatkan nasihat, panduan ulama, ciri khas kepimpinan PMX - Ahmad Awang
- Suara Keadilan

- Jul 26
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dilihat meneruskan tradisi kepimpinan Islam sejak era khalifah apabila sentiasa mendekati golongan ulama dan mengundang mereka untuk memberi nasihat serta panduan dalam pentadbiran negara.
Langkah itu adalah praktik penting pemerintahan Islam sejak 1,400 tahun lalu, yang juga diamalkan dalam Kesultanan Melaka, menjadikan institusi ulama sebagai rujukan dalam membuat keputusan penting negara.
Menurut Pengerusi Bersama Muktamar Masjid Semalaysia Untuk al-Aqsa dan Palestin (MM4AP), Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang (gambar), sejak dahulu lagi PM Anwar dikenali sebagai pemimpin yang menjunjung tinggi peranan agama dan ulama dalam pentadbiran, bahkan ketika beliau memegang jawatan Menteri Kewangan pada era 1990an ketika Tun Dr Mahathir Mohamad berkuasa.
Oleh itu, katanya, tidak menghairankan beberapa ulama Pas seperti Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah waktu ini dipilih untuk memberikan nasihat kerana Anwar pernah menjemput penceramah agama dari pelbagai latar belakang, termasuk dari parti pembangkang pada dua dekad lalu untuk menyampaikan ceramah di kementeriannya.
"Itulah dia ciri penting (khas) kepimpinan yang Anwar ada sejak daripada dulu. Sebab dulu masa Dr Mahathir jadi PM pun, kalau hari yang ada acara agama di kementerian dia, mesti dia buat program.
"Dia di Kementeran Kewangan dia panggil saya, (sedangkan) masa itu saya dalam Pas. Dia panggil saya pergi ke Kementerian Kewangan. Saya berceramah di situ.
"Tetap tak tinggal (budaya jemput ulama). Jadi eloklah bila dia jadi PM sekarang ini, dia lagilah di atas (jawatannya). Dia boleh panggil siapa-siapa ulama yang ada," kata Ahmad Awang kepada Suara Keadilan.

Tambah Ahmad, tindakan Anwar terus mendekati para ulama itu dilihat lebih meluas dengan menjemput tokoh agama ke Putrajaya sebagai penasihat pentadbiran dan kerohanian – satu pendekatan yang jarang dilihat dalam kepimpinan moden.
Ujarnya, pendekatan Anwar bukan sahaja memperkukuh nilai agama dalam pemerintahan, tetapi turut mengangkat semula peranan ulama sebagai suara moral dalam landskap politik negara.
Bagaimanapun kata Ahmad Awang, malangnya usaha murni seperti itu menjadi sasaran pihak tertentu yang cuba menggagalkan kepimpinan Anwar dengan pelbagai serangan peribadi.
Termasuklah strategi dan usaha terancang untuk melemahkan reputasi beliau melalui isu-isu kehakiman dan politik, namun ramai yang melihatnya sebagai tidak berasas dan sekadar propaganda.
"Bila pemimpin buat baik, musuh akan jadi makin tertekan. Sebab itu mereka serang. Ini yang Anwar Turun ni. Ini strategi yang memang dia orang dah bincang habis.
"Pakar-pakarnya (pembangkang) kata, inilah modal yang ada daripada kita untuk kata orang character assasination (pembunuhan karektor). Tujuannya begitu.
"Dia orang nak burukkan yang lain, tak ada. Maka diburukkan hal-hal kehakiman dan mahkamah, dan dengan sendirinya (isu itu) dah jadi akademik," kata Ahmad lagi.









Comments