top of page

DAP Negeri Sembilan sokong Anthony Loke terus pimpin parti

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read
DAP N Sembilan menyokong padu kepimpinan Anthony Loke
DAP N Sembilan menyokong padu kepimpinan Anthony Loke

Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan menyatakan sokongan sebulat suara supaya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook terus memimpin parti itu sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan, susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.


Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, kepimpinan Loke telah terbukti membawa DAP Negeri Sembilan ke tahap lebih kukuh sejak mengambil peranan dalam parti.


"Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan bersolidariti dan terus menyokong Loke Siew Fook sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan. Kami sebulat suara memohon beliau terus memimpin DAP Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan.


Menurut beliau, kepimpinan Loke telah diiktiraf sebagai antara yang terbaik dalam sejarah DAP di negeri itu, dengan pencapaian parti meningkat daripada hanya dua kerusi pada 2004.


"Bermula dengan dua kerusi pada tahun 2004, kepimpinan berwibawa Loke telah melonjakkan DAP Negeri Sembilan ke tahap yang dihormati oleh kawan dan lawan," ujarnya.


Kee Chin berkata, kekalahan DAP di kerusi DUN Chennah dan Repah pada PRN kali ini sememangnya mengecewakan, namun keputusan itu tidak seharusnya diletakkan sebagai tanggungjawab Loke.


Beliau berkata, DAP Negeri Sembilan memerlukan kepimpinan Loke bagi menghadapi cabaran politik akan datang, termasuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).


"Tatkala Pakatan Harapan hilang majoriti di DUN Negeri Sembilan, DAP Negeri Sembilan memerlukan kepimpinan berkarisma daripada Loke untuk menghadapi cabaran masa depan termasuk cabaran PRU16," katanya.


Dalam pada itu, Kee Chin berkata analisis keputusan PRN menunjukkan calon PH dan DAP masih mendapat sokongan kukuh daripada penyokong tegar parti.


"Analisa awal keputusan PRN kali ini menunjuklan calon-calon Pakatan Harapan dan DAP masih mendapat sokongan padu di kalangan penyokong tegar kami, walaupun menghadapi pihak lawan yang memainkan isu perkauman," katanya.


Beliau berkata, perkara itu turut menjadi antara sebab jawatankuasa negeri mahu Loke meneruskan kepimpinannya.


Beliau juga berkata, beliau telah mengadakan perbincangan bersama semua Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan dan keputusan dicapai secara sebulat suara supaya Loke terus menerajui parti di negeri berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page