top of page

Dana Rohingya: Wan Azizah bidas kenyataan Zahid



Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail membidas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Zahid Hamidi yang seolah-olah sengaja menuduh Pakatan Harapan menyalahgunakan dana bantuan Rohingya untuk memburuk-burukkan blok pembangkang.


Katanya, Pakatan Harapan tidak pernah mengambil sesen pun sumbangan dana Qatar bernilai AS50 juta dolar ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri, sebaliknya Qatar melalui Qatar Charity (QC) terus menyalurkan sumbangan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.


"Apabila Pakatan Harapan mengambilalih Putrajaya pada Mei 2018, kami dimaklumkan akan hasrat Qatar untuk menyalurkan bantuan sejak 2016 lagi, dan kami bersyukur dapat menjadikannya satu kenyataan dalam tempoh tidak sampai 18 bulan mentadbir negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Wan Azizah yang juga merupakan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan, sebuah agensi kementeriannya iaitu Yayasan Kebajikan Negara dilantik sebagai badan penyelaras bagi bantuan tersebut selaras dengan keputusan Kabinet pada 5 April 2019.


"Kabinet juga melantik Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai pengerusi jawatankuasa pemantau bagi program ini dan melapor terus kepada satu jawatankuasa tertinggi yang saya pengerusikan sehingga 23 Februari 2020.


"Jemaah Menteri telah mengolah struktur pentadbiran sebegini rupa bagi memastikan ketelusan dalam perlaksanaan dan pengendalian program ini sesuai dengan penekanan kerajaan Pakatan Harapan ke atas akauntabiliti, ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik.


"Zahid sebagai Presiden UMNO, sebuah parti yang sekarang ini bersama kerajaan Perikatan Nasional, seharusnya boleh memperoleh segala maklumat berkaitan hal ini hanya dengan berhubung dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya.


Di bawah pentadbiran Wan Azizah, bantuan kemanusiaan pelarian Rohingya di Malaysia menggunakan peruntukan Qatar Fund for Development (QFFD) dalam tiga sektor, iaitu kesihatan, pendidikan dan mandiri kehidupan (livelihood).


Bagi pelaksanaan sektor kesihatan, satu perjanjian telah dimeterai pada 13 September 2019 antara YKN, QC dan tiga buah NGO iaitu Mercy Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Malaysia Relief Agency (MRA) untuk tempoh setahun dan akan disambung selama tiga tahun dengan peruntukan tahunan sebanyak AS5 juta dolar, menjadikan jumlah AS15 juta dolar.


Namun rancangan kerajaan Pakatan Harapan bagi sektor pendidikan dan mandiri kehidupan warga Rohingya tidak dapat diteruskan kerana ketika itu Perikatan Nasional melakukan rampasan kuasa di Putrajaya.


"Walaupun kerajaan Qatar memberi komitmen untuk menyalurkan bantuan ini selama tiga tahun, ia juga memberi iltizam akan kelestarian program ini yang memungkinkan ia disambung selepas tiga tahun mengikut keperluan pada waktu tersebut.


"Ucapan terima kasih kami ucapkan kepada pimpinan Qatar yang telah memberi kepercayaan kepada kerajaan PH bagi memungkinkan perkara ini tercapai termasuk Duta Qatar ke Malaysia, Fahad Mohammed Kafoud, serta semua kakitangan kerajaan dan NGO yang terlibat.


"Bantuan dari Qatar ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan sebahagian daripada beban yang selama ini dipikul pihak kerajaan berkenaan pelarian Rohingya dan dengan itu manfaatnya dapat dialihkan kepada rakyat Malaysia," kata Wan Azizah.


Namun Pengerusi Majlis Penasihat Keadilan itu mengakui, walaupun Pakatan Harapan banyak membantu pelarian Rohingya, soal kebajikan rakyat Malaysia tetap diutamakan.


"Kami juga memikirkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan. Kita juga mesti menjaga kebajikan rakyat Malaysia sendiri yang memerlukan terutama dalam situasi semasa.


"Saya juga menyeru kerajaan Myanmar supaya mengambil tanggungjawab ke atas eksodus besar-besaran kaum Rohingya. Tanggungjawab ini tidak sepatutnya diserahkan kepada negara-negara lain terutama negara jiran," katanya.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page