top of page

Dana judi, pilihanraya: Boleh semak laporan media, kenyataan PM - Syam Ghaz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Rekod 33 bulan pentadbiran Perikatan Nasional (2020 - 2022) dipersoalkan apabila jumlah cabutan khas judi nombor ramalan dinaikkan semula daripada lapan kepada 22 kali setahun ketika gabungan itu berada dalam kerajaan.


Aktivis Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Syam Ghaz (gambar) menegaskan, komitmen untuk membanteras perjudian perlu dinilai berdasarkan keputusan dasar ketika memegang kuasa, dan bukannya sekadar retorik politik selepas berada di luar pentadbiran.


"Sepanjang 33 bulan pentadbiran PN, mengapa jumlah cabutan khas nombor ramalan dinaikkan semula daripada 8 kali kepada 22 kali setahun, sedangkan sebelum itu telah dikurangkan oleh kerajaan PH?.


"Ketika itu Pas berada dalam Kerajaan Persekutuan. Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air, manakala Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Idris Ahmad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), manakala Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Timur Tengah bertaraf Menteri.


"Jika benar komitmen menentang perjudian begitu tegas, mengapa peningkatan cabutan khas itu berlaku ketika Pas berada dalam Kabinet?," soal beliau dalam satu kenyataan.


Syam Ghaz berkata begitu dalam menjawab video tular Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa kononnya kenyataan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam poscast beliau baru baru ini membuktikan PN tidak menerima dana judi.


Bagaimanapun, Syam Ghaz mendakwa, Rafizi mungkin memetik soalan Parlimen dan jawapan diberi Datuk Seri Azalina Othman Said bertarikh 25 Mei 2023.


Sedangkan, jawapan tersebut diberikan sebelum perkembangan tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada tauke judi, dan duit RM40 juta dibekukan pada 27 Ogos 2023 sebagaimana dilaporkan media.


"Jawapan tersebut diberikan sebelum perkembangan besar tangkapan SPRM kepada tauke judi dan duit RM40 juta dibekukan pada 27 Ogos 2023, dan (hal itu) jelas disebut dalam laporan media.


"Jika benar tuduhan itu (terima dana judi) tidak berasas, saluran undang-undang terbuka luas. Kenyataan dibuat di luar Dewan Parlimen.


"Jika (pembangkang memutuskan) tindakan saman difailkan, maka proses mahkamah akan berjalan secara terbuka, saksi akan dipanggil, dan dokumen berkaitan termasuk yang sebelum ini dilindungi boleh didedahkan mengikut proses perundangan.


"Pada ketika itu, keseluruhan rekod pentadbiran 33 bulan akan dinilai secara menyeluruh," ujarnya lagi.


Hakikatnya, katanya Syam Ghaz, pada waktu ini Kerajaan MADANI telahpun melaksanakan kembali pengurangan cabutan khas 4D daripada 22 kali kepada 8 kali setahun bermula 2023.


"Kerajaan Perpaduan di bawah gagasan Malaysia MADANI melaksanakan pengurangan tersebut, menjadikan cabutan khas kembali kepada 8 kali setahun.


"Ini merupakan tindakan dasar yang konkrit, bukan retorik politik. Komitmen menentang perjudian tidak memadai dengan slogan atau retorik agama semata-mata. Ukuran sebenar ialah keputusan dalam mesyuarat Kabinet dan dasar yang dilaksanakan apabila memegang kuasa.


"Tidak munasabah untuk mendakwa ketidaktahuan dalam kalangan bekas Menteri Kabinet terhadap keputusan dasar sebesar ini. Isu dasar nasional tidak sepatutnya dipermudah menjadi bahan kandungan podcast atau sentimen politik sempit," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page