top of page

Peruntukan belanjawan Covid-19 tidak cukup, perlu tambahan RM19 bilion

Updated: Nov 13, 2020


Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menyifatkan Belanjawan 2021 adalah satu bajet yang mengecewakan apabila peruntukan yang ditetapkan dilihat tidak mencukupi untuk menangani pandemik Covid-19.


Malah, beliau menganggap Belanjawan 2021 adalah bajet kerajaan yang dibuat hanya untuk memenuhi agenda politik semata-mata.


"Sepatutnya bajet ini satu bajet luar biasa, dengan belanjawan terbesar RM322.5 bilion untuk mengatasi pandemik Covid-19.


"Tapi belanjawan ini jelas terpesong dari matlamat utama, ia lebih dari satu belanjawan mengembang biasa yang ada agenda politik seperti peruntukan untuk Jasa.


"Saya risau keadaan politik yang rumit kini akan berterusan sekiranya belanjawan ini diteruskan tanpa pindaan munasabah," katanya ketika perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.


Unjuran tidak masuk akal


Wong Chen berpandangan bahawa unjuran untuk keluaran dalam negara kasar (KDNK) haruslah bersifat realistik.


Katanya, unjuran yang positif bergantung kepada secepat mana kerajaan boleh mendapatkan vaksin.


"Kalau nak sediakan belanjawan, adalah penting untuk buat unjuran tepat mengikut keadaan Covid-19 tahun depan, adakah pandemik akan terus merebak atau mula menyurut.


"Vaksin Pfizer dilaporkan efektif di tahap 90 peratus tapi belum diluluskan sepenuhnya. Pakar kesihatan meramalkan vaksin itu dilulus bulan depan, sebelum Krismas tapi perlu penstoran -80 darjah celcius. Ini akan merumitkan penyimpanan, pengedaran dan kerja inokulasi.


"Pfizer sendiri tidak ada kapasiti untuk mengilangkan berbilion vaksin untuk seluruh dunia. Kita juga berdepan isu berapa vaksin boleh dikilangkan, isu 'supply and demand', negara mana dapat dahulu, harga, kewangan, pengedaran dan inokulasi, adalah cabaran logistik kewangan yang perlu diatasi.


"Kemungkinan paling cepat kita dapat vaksin adalah pada suku pertama tahun 2021, tapi inokulasi ambil masa 6 bulan, jadi jika Malaysia bernasib baik dan kita mula dapat membendung pandemik akhir 2021, kita dapat lihat sosial dan ekonomi pulih ke normal," katanya.


Pada masa sama, beliau menganggap unjuran untuk cukai pendapatan dan individu tidak realistik.


"Unjuran lebihan RM25 bilion iaitu lebihan RM15 bilion untuk cukai korporat, dan RM10 bilion dari cukai individu ini harus dibetulkan.


"Saya tak ada halangan sekiranya dana diperoleh dari terbitan bon dan sukuk. Saya tiada masalah untuk perbelanjaan mengembang, tetapi janganlah hina kita dengan unjuran hasil yang tak realistik," katanya.


Tambah RM19 bilion untuk tangani COVID-19


Wong Chen berpendapat kerajaan perlu menambah sekurang-kurangnya RM19 bilion untuk menangani pandemik Covid-19.


"Menurut dokumen belanjawan, kerajaan bercadang membelanjakan RM28 bilion untuk keseluruhan 2020, itu tabung kumpulan wang Covid-19. Bagi 2021, kerajaan bercadang peruntukan RM17 bilion, adakah ini mencukupi?


"Kita kena nilai dulu keberkesanan RM28 bilion yang digunakan tahun ini, adakah tahap subsidi upah dan pemberian bantuan prihatin nasional ini cukup, jawapannya tidak.


"Pengangguran terus meningkat, majoriti syarikat masih separuh hidup sampai minta lanjutan moratorium, kesengsaraan B40 dan M40 jelas, ramai sekarang meminta kerajaan membenarkan mereka mengeluarkan wang pencen KWSP.


"Apa yang jelas RM28 bilion memang tak cukup untuk tahun 2020, kenapa pula kerajaan berhasrat untuk mengurangkan dana hingga RM17 bilion sahaja untuk 2021, tak masuk logik dan kita perlu hadapi 9 bulan sebelum vaksin boleh menjadi positif impak," katanya.


Justeru, beliau berkata penambahan RM19 bilion kepada peruntukan RM17 bilion iaitu RM36 bilion secara keseluruhan akan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat ketika ini.


"Dengan penambahan RM19 bilion ini, kita boleh beli vaksin secukupnya, kalau kena guna RM3 bilion, gunalah RM3 bilion, subsidi upah dan bantuan prihatin boleh ditingkatkan sehingga syarikat tak perlu minta lanjutan moratorium, sebab kalau kita bayar gaji, tak payah minta bank lanjutkan moratorium.


"Rakyat pun tak perlu terdesak sampai kena keluarkan wang pencen KWSP, kalau bantuan prihatin cukup


"Penambahan ini juga boleh digunakan untuk 'mass testing', seperti diamalkan China, Hong Kong dan Slovakia.


"Kalau boleh buat 3 juta ujian sehari, kesemua penduduk Malaysia akan dapat diuji dalam tempoh 10 hari sahaja.


"Ini akan membenarkan Malaysia menekan satu 'reset button' terhadap ekonomi negara," katanya.


Malah, kata Wong, RM19 bilion itu boleh diambil dari perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan sehingga RM71 bilion, kerana peruntukan pembangunan biasanya hanya diperuntukkan sebanyak RM50 bilion setiap tahun.


"Parlimen boleh kurangkan perbelanjaaan pembangunan ke RM50 bilion di mana RM19 bilion dipindahkan ke kumpulan wang Covid-19.


"Biasanya tahap perbelanjaan pembangunan adalah RM50 bilion sahaja, memanglah perbelanjaan pembangunan beri manfaat kepada ekonomi dan rakyat tetapi sekiranya ia dilakukan secara korup, tanpa 'open tender', maka manfaat lebih menguntungkan kroni politik.


"Negara sedang hadapi krisis luar biasa, rakyat susah majoriti syarikat susah mengapa kerajaan ini memberi kepentingan kepada perbelanjaan pembangunan yang lebih memanfaatkan kroni sampai RM71 bilion.


"Oleh demikian, semua ahli parlimen tak payah debat moratorium, tak payah berdebat isu KWSP, sokong cadangan saya pindahkan RM19 bilion masukkan ke tabung Covid-19, dengan itu kita boleh selesaikan semua perkara," katanya.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page