Dana Belia diteruskan, komitmen kerajaan perkasa kepimpinan muda
- Suara Keadilan

- Jan 17
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan MADANI meneruskan pelaksanaan Dana Antarabangsa Belia Kementerian Belia dan Sukan (IYF@KBS) bagi tahun 2026 sebagai usaha memperkukuh peranan serta kepimpinan belia Malaysia di peringkat antarabangsa.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan, inisiatif itu selaras dengan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkasa pengantarabangsaan belia berusia antara 18 hingga 30 tahun.
"Dana berkenaan bertujuan menyokong penyertaan belia Malaysia dalam pelbagai platform global termasuk mesyuarat, forum, persidangan dan simposium antarabangsa berkaitan pembangunan belia.
"Pelaksanaannya sejajar dengan Dasar Belia Malaysia dan Model Pembangunan Belia MADANI, sekali gus memberi peluang kepada belia tempatan menyumbang dalam penggubalan dasar serta inisiatif di peringkat serantau dan global," menurut kenyataan kementerian itu pada Jumaat.
KBS turut menjelaskan, inisiatif berkenaan membuka ruang kepada belia untuk terlibat dalam perbincangan isu global, membina jaringan strategik serta memperkukuh kefahaman antara budaya.
Bagi tahun 2026, dana ditawarkan secara one-off dengan keutamaan diberikan kepada belia yang aktif dalam persatuan, pertubuhan atau kelab berdaftar, melibatkan bantuan sehingga RM20,000 bagi setiap permohonan yang diluluskan.
Permohonan dibuka dalam empat siri bermula 16 Januari 2026 bagi program antarabangsa yang berlangsung antara 1 Mac hingga 15 November 2026, dan perlu dikemukakan secara dalam talian melalui portal rasmi KBS.
Semua permohonan hendaklah dibuat menerusi www.kbs.gov.my/iyf dengan melengkapkan dokumen sokongan yang ditetapkan.
"KBS yakin pelaksanaan IYF@KBS 2026 akan terus memperkukuh ekosistem pembangunan belia negara, melahirkan pemimpin muda yang berwibawa serta menyumbang kepada pembinaan Malaysia yang lebih progresif, inklusif dan berdaya saing di persada dunia," kata kenyataan itu lagi.









Comments