Dana 40% Sabah: Manifesto PH pastikan hasil jana pembangunan rakyat
- Suara Keadilan
- a few seconds ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) Sabah mengulangi komitmen tegas untuk memastikan 40 peratus hasil negeri yang diperuntukkan kepada Sabah digunakan sepenuhnya bagi meningkatkan pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Hal itu dinyatakan dalam sidang media oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dalam sidang media selepas pelancaran Manifesto Pakatan Harapan (PH) Sabah di Kota Kinabalu, petang tadi.
Katanya perkara yang pasti, Kerajaan Persekutuan tidak akan merayu dan Sabah akan mendapat hasil 40 peratus tersebut. Maka rakyat perlu menentukan kerajaan terbaik dilantik bagi menguruskan dana berkenaan agar semua mendapat manfaat.
"Bila kita dapat 40 peratus, saya fikir akan ada rundingan antara Persekutuan dan negeri selepas ini. Jadi kita mahu supaya dana 40 peratus itu digunakan untuk memperbaiki infrastruktur.
"Kita ada masalah sinkhole, ini juga perlu kita tumpukan dana tersebut. Terima kasih kepada PMX (Anwar) yang tidak merayu dan akan melaksanakan. Kita dapat dana ini untuk perbaiki (insfrastruktur)," katanya menjawab soalan pemberita.
Mustapha menekankan dana 40 peratus itu akan diurus secara yang berhemah dengan mewujudkan tabung kemakmuran, Sabah Sovereign Wealth Fund sebagaimana terkandung dalam manifesto PH.
"Kita bukan hanya berjuang mendapatkan hak kita 40 peratus. Kita mahu supaya dana ini dimasukkan dalam sovereign fund dan kita laksanakan mengikut apa yang kita gariskan," katanya.
Mengulas pendapat mengatakan Malaysia akan muflis dengan membayar Sabah 40 peratus dan keraguan timbul apakah jumlah tersebut benar benar akan diperolehi, Mustapha berkata, hal itu tidak timbul kerana perundingan telah pun lama dibuat sebelum keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
"Saya fikir isu negara bankrap tidak timbul. Berdasarkan perundingan yang telah berjalan lama. Cuma yang membezakan kerajaan terdahulu dan Kerajaan Madani ini, kita betul-betul komited dan serius untuk melaksanakan MA63. Sembilan tuntutan sudah dilaksanakan dan perundingan akan terus berjalan."
Selain itu, kata Mustapha, PH Sabah juga akan mencadangkan struktur pengawasan yang ketat dalam membelanjakan dana 40 peratus dengan membentangkan hal itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri dan mewujudkan jawatankuasa khas pemantauan.
"Kita mahu supaya tabung khas ini akan dibentang dalam sidang Dewan Negeri. Satu (berkenaan) penggunaannya, satu lagi ketelusan, supaya semua ahli dewan dapat bahas. Ini penting.
"Kita akan tubuh Jawatankuasa Pilihan Khas untuk bincang penggunaan dana ini," katanya.
PH Sabah, tegas Mustapha, akan memastikan dana berkenaan bakal memberi manfaat langsung kepada rakyat.
"40 peratus ini untuk rakyat. Bina empangan, bekalan air, jalan baru, pendidikan. Dan ramai tak nampak sebahagian dana, kita mahu rakyat juga dapat merasa seperti (wujudkan skim) SARA. Kita mahu rakyat dapat RM100 sekurang-kurangnya setahun untuk semua rakyat Sabah yang ada kad pengenalan," katanya lagi.






