Persoalan sama ada KEADILAN perlu menang dalam Pilihan Raya Umum ke 15 atau menunggu sepenggal lagi menjadi persoalan hangat dalam kalangan calon calon yang berkempen dalam pemilihan kali ini.
Bagi calon Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Shafiq Sunny, beliau lebih gemar untuk menetapkan parti menang PRU 15 berbanding menunggu 5 tahun selepas itu.
"Dalam KEADILAN saya belajar 'jangan mengaku kalah walaupun nak kalah'. Kita telah lalui Pilihan Raya Negeri Sarawak, Melaka, kita tengok presiden buat kerja macam dia yang jadi calon. Dia pergi mana mana dengan pasukannya.
"Presiden pergi ke setiap tempat. Saya lihat Saifuddin juga jaga parti. Saifuddin dan Anwar bina semula parti ini dan 222 cabang bergerak dengan baik, dan bagi saya sekarang kita masuk pemilihan untuk menang, apatah lagi kita masuk PRU. Kita patut menang. Berjuang dulu.
"Bagaimanapun kita mesti jadikan Anwar PM. Macam mana nak jd PM kalau kalah," katanya dalam forum yang dimoderatorkan oleh Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, baru baru ini.
Tambah Shafiq, beliau sendiri bertekad akan segera menubuhkan jentera pilihan raya peringkat cabang sekiranya menang ketua cabang.
"Saya beritahu dalam tempoh selepas pemilihan kalau menang, saya tubuhkan jentera PRU serta merta. Siapa sahaja yang parti hantar kita menangkan. Saya masuk pemilihan ini untuk menangkan KEADILAN, bukan sahaja negeri tetapi juga Malaysia," katanya.
Menjawab soalan mengapakah beliau memilih bertanding ketua cabang dan tidak memilih untuk mendaki dari bawah, Shafiq menjelaskan bahawa beliau membesar di Wangsa Maju dan mempunyai ramai kenalan di sana.
Katanya, cabang memerlukan kepimpinan anak muda yang progresif dan bersemangat.
Menurut beliau, banyak anak muda masuk parti kerana penggiat seni menyertai KEADILAN dan bukannya semata mata perjuangan politik. Beliau berharap dapat menarik minat golongan muda yang tidak terlalu berpolitik.
"KEADILAN bukan parti orang tua. Orang muda pula bukan nak rebut jawatan tetapi nak tunjuk kepimpinan lebih baik. Bagi saya KEADILAN ke arah parti pilihan anak muda akan datang.
Kita lihat Shamsul (Iskandar) jadi Ahli Parlimen pada usia muda. Saya ingat lagi saya bersama saudara Shamsul membawa aspirasi anak muda.
"Sekarang kita perlukan penjenamaan semula KEADILAN selepas pemilihan. Lebih ramai akan joint parti ini. Apa yang saya lihat kawan kawan sertai parti ini bukan sangat kerana perjuangannya tetapi tokoh tokoh seni seperti Afdlin, Altimet dan lain lain telah menyertai KEADILAN," katanya lagi.
Shafiq Sunny kini berkhidmat sebagai Pegawai Khas di parlimen Port Dickson dan salah seorang aktivis dalam Anwar Ibrahim Club. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai wartawan Suara Keadilan selama beberapa tahun sehingga 2009.
Commentaires