top of page

Dalam diam-diam orang Melayu sokong HARAPAN - MP Ledang

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • Jul 6
  • 2 min read

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar), berkata sokongan masyarakat Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 semakin positif meskipun tidak ditunjukkan secara terbuka.


Menurut beliau, berdasarkan pengalaman turun padang bersama calon PH di kawasan N.09 Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof, sambutan masyarakat Melayu mungkin tidak seagresif pengundi bukan Melayu namun terdapat petunjuk jelas bahawa ramai dalam kalangan mereka memberikan sokongan secara senyap.


"Apabila kami turun ke kampung-kampung, pergi ke masjid dan surau, memang suasananya sedikit berbeza berbanding kawasan masyarakat bukan Melayu.


"Tetapi secara diam-diam, saya yakin dan percaya ramai daripada orang Melayu sebenarnya menyokong kita," katanya ketika berucap pada ceramah "Johor Ke Depan Undi Harapan" di Gambir, malam tadi.


Beliau berkata, isyarat yang diterima sepanjang bertemu penduduk kampung memberi keyakinan bahawa rakyat kini lebih menilai keikhlasan pemimpin yang sanggup turun padang dan mendengar masalah mereka berbanding retorik politik.


Menurutnya, dalam suasana politik semasa, pemimpin tidak lagi boleh bersikap sombong atau terlalu yakin dengan kekuatan sendiri.


"Ini bukan masa untuk bercakap besar. Yang penting ialah turun bertemu rakyat, mendengar suara mereka, memahami masalah mereka dan membawa suara itu ke Dewan Undangan Negeri.


"Akhirnya yang menentukan kemenangan ialah rakyat. Suara rakyat adalah suara keramat," katanya.


Syed Ibrahim turut menggesa seluruh jentera PH terus bekerja keras sehingga hari pengundian bagi memastikan kemenangan calon-calon gabungan itu di bawah Parlimen Ledang dan seluruh Johor.


Beliau berkata, PH mempunyai rekod pernah menyapu bersih kerusi di kawasan Parlimen Ledang pada Pilihan Raya Umum 2018 dan berharap momentum tersebut dapat diterjemahkan semula pada PRN kali ini.


Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua calon PH supaya terus merendah diri serta mengelakkan sikap angkuh yang boleh menjarakkan mereka daripada rakyat.


"Kita boleh bersaing secara sihat, tetapi jangan ada sifat sombong kerana akhirnya rakyat akan membuat penilaian sendiri," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page