Dakwaan Petronas simpan 95% hasil minyak, gas Sarawak tidak berasas
- Suara Keadilan
- 20 hours ago
- 2 min read

Dakwaan bahawa Petronas menyimpan 95% hasil minyak dan gas dari Sarawak ditolak oleh Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.
Menurut beliau, setelah melakukan kajian mendalam, naratif itu jelas memesongkan realiti fiskal petroleum negara yang sering dimanipulasi menjelang pilihan raya negeri Sarawak oleh pihak pihak berkepentingan.
"Selepas menjalankan beberapa kajian dan melalui penglibatan dengan pemain industri serta pakar subjek, adalah jelas bahawa dakwaan bahawa Petronas telah mengekalkan 95% daripada hasil minyak dan gas Sarawak adalah tidak berasas dan memesongkan realiti rejim fiskal petroleum Malaysia.
"Jumlah perbelanjaan untuk penerokaan luar pesisir sehingga pengeluaran biasanya menggunakan 70% hingga 80% daripada jumlah hasil minyak dan gas.
"Daripada jumlah hasil tersebut, 5% royalti dibayar terus kepada Kerajaan Negeri masing-masing tanpa negeri perlu menanggung sebarang kos dan 5% royalti dibayar kepada Kerajaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan.
Selain itu beliau menjelaskan, Petronas turut menanggung risiko perniagaan yang tinggi kerana kadar kejayaan komersial penerokaan luar pesisir di bawah 30%.
"Petronas menanggung risiko perniagaan yang besar. Kadar kejayaan komersial untuk telaga penerokaan luar pesisir hanya sekitar 20% hingga 25%.
"Ini bermakna Petronas mesti menanggung kos penuh telaga yang gagal dan penemuan yang tidak berdaya maju secara komersial, tanpa menyerahkan beban itu kepada negeri
"Amat dikesali terdapat pegawai dan ahli politik terpelajar yang terus membuat dakwaan (keliru) tanpa pemeriksaan fakta yang betul," katanya.
Choon Man berkata, perjuangan rakyat Sarawak menuntut hak mestilah berlandaskan kebenaran dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bukan retorik politik.
Katanya, rakyat harus mengambil semangat Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memperjuangkan rakyat Sarawak berdasarkan kebenaran dan justifikasi yang sah di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu beliau menegaskan, Kerajaan Madani kini memberi perhatian lebih kepada pembangunan Sabah dan Sarawak dengan pelaburan besar dalam infrastruktur serta kemudahan rakyat.
Di Miri sahaja, katanya, ratusan juta telah diperuntukkan untuk pembesaran lapangan terbang, tebatan banjir, pencegahan hakisan pantai, perkhidmatan jantung di Hospital Miri, menaik taraf ICQS Sungai Tujoh dan sekolah-sekolah daif.
"Oleh itu, saya menyeru semua pihak untuk berkata benar, bekerjasama sebagai satu pasukan, dan berjuang dengan ikhlas daripada menyebarkan sentimen yang mengelirukan.
"Itulah satu-satunya jalan untuk memastikan Sarawak dan Sabah menerima pengiktirafan dan pembangunan yang sewajarnya di Malaysia," katanya lagi.
Justeru, Choon Man menyeru agar rakyat Sarawak bersatu memperjuangkan hak negeri secara ikhlas, dengan fakta dan menggunakan strategi yang betul.