Dakwaan BN mahu bertanding 115 kerusi naratif palsu, sabotaj - Lokman
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Barisan Nasional (BN) tidak pernah menyatakan hasrat untuk bertanding 115 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, sebaliknya dakwaan yang tular di media sosial baru baru ini disifatkan sebagai naratif palsu yang sengaja dicipta bagi menimbulkan kecurigaan terhadap parti tersebut.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) menegaskan, Majlis Tertinggi BN mahupun Pengerusi BN tidak pernah mengeluarkan kenyataan akan bertanding sejumlah kerusi seperti didakwa.
"Ia hanyalah fiksyen politik yang direka untuk mencetuskan ketegangan dalam Kerajaan Perpaduan. Musuh-musuh UMNO dan BN memutarbelitkan perkara ini sebagai tanda terdesak.
"Mereka mendakwa BN mahu menghapuskan persepsi bahawa ia hanya pemain kedua di belakang Pakatan Harapan (PH) dengan bertanding lebih banyak kerusi daripada PH.
"Tuduhan itu mungkin kedengaran dramatik, tetapi ia tidak bertahan apabila diteliti. Inilah fakta sebenarnya," katanya dalam satu kenyataan.
Ujar Lokman, berdasarkan persefahaman bersama antara BN dan PH, kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN) akan ditandingi oleh mana-mana rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang memperoleh jumlah undi kedua tertinggi di kawasan tersebut dalam PRU yang lalu.
Katanya, formula berkenaan jelas, rasional dan berasaskan data malah berdasarkan kajian dalaman terhadap corak pengundian. Potensi realistik BN di bawah persefahaman ini adalah sekitar 85 kerusi, bukannya 115.
Pengarah Komunikasi UMNO itu menambah, unjuran berkenaan adalah berasaskan matematik pilihanraya dan bukannya didorong oleh ego, sambil menegaskan angka 115 hanya rekaan untuk menggambarkan BN sebagai angkuh dan kononnya merancang mengkhianati PH.
"Dakwaan 115 kerusi itu bukan analisis. Ia adalah sabotaj. Ia direka untuk mewujudkan ketidakpercayaan yang sebenarnya tidak wujud. Rakyat Malaysia berhak mendapat kejelasan, bukan manipulasi.
"Daripada naratif palsu 115 kerusi ini, pihak yang sama cuba memutar satu lagi cerita bahawa penjenamaan semula BN hanyalah kosmetik semata-mata.
"Itu juga tidak jujur. Penyesuaian BN mencerminkan landskap politik Malaysia yang baharu, yang ditentukan oleh kerjasama gabungan, rundingan, dan tanggungjawab membina kerajaan yang stabil," katanya lagi.
Baru baru ini sebuah portal berita menyiarkantemubual dari sumber dalaman BN kononnya Pengerusi BN memberi kenyataan bahawa parti itu akan bertanding 115 kerusi dalam PRU 16 bagi menjadikan BN pemain utama dalam PRU 16.




Comments