Dakwaan AS tawar bantuan jatuhkan kerajaan perlu disiasat hingga akar umbi
- Suara Keadilan

- 9 hours ago
- 2 min read

Dakwaan bahawa pihak Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia pada 2014 perlu disiasat secara menyeluruh kerana hal itu menyentuh soal kedaulatan negara, kata Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun (gambar).
Sehubungan itu, katanya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada 5 September lalu susulan laporan media mengenai dakwaan Presiden Pas, Hj Hadi Awang, berkaitan pertemuan beberapa pemimpin Pas dengan wakil Kedutaan AS ketika lawatan bekas Presiden AS, Barack Obama ke Malaysia pada berkenaan.
Menurutnya, laporan Free Malaysia Today memetik Hj Hadi sebagai mendakwa pihak AS ketika itu sanggup membantu menjatuhkan kerajaan yang memerintah.
"Jika dakwaan ini benar, kita sedang berhadapan dengan persoalan yang jauh lebih besar daripada persaingan politik antara parti. Kita sedang bercakap mengenai kedaulatan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Shahbudin berkata, pembantu Hj Hadi waktu itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan mengesahkan bahawa pertemuan dengan wakil Kedutaan AS memang berlaku, namun pada masa sama menegaskan wakil Pas tidak memberikan sebarang keputusan dan tidak mengharapkan campur tangan asing dalam politik negara.
Katanya, pengesahan mengenai kewujudan pertemuan itu bagaimanapun tidak menjawab persoalan mengenai perkara yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.
"Terdapat perbezaan antara ‘pertemuan berlaku’ dengan ‘apa yang dibincangkan dalam pertemuan itu.’ Di sinilah persoalan yang lebih besar bermula," katanya.
Beliau berkata sekiranya benar pihak asing bertanya sama ada Pas ketika itu merancang menjatuhkan kerajaan, konteks pertanyaan tersebut perlu diketahui, termasuk maksud sebenar bantuan yang didakwa ditawarkan.
"Jika benar terdapat tawaran bantuan, apakah yang dimaksudkan dengan bantuan itu? Adakah ia sekadar percakapan? Adakah ia satu pendekatan politik? Hanya siasatan berdasarkan bukti boleh memberikan jawapannya," ujarnya.
Shahbudin turut mempersoalkan kapasiti pihak yang didakwa membuat tawaran berkenaan, termasuk sama ada ia merupakan pendirian rasmi kerajaan AS atau pandangan individu tertentu.
Beliau berkata siasatan juga perlu meneliti kemungkinan kewujudan arahan atau komunikasi daripada pihak lebih tinggi serta dokumen, surat, e-mel, mesej, minit pertemuan atau rekod diplomatik berkaitan.
Dalam pada itu, Shahbudin menegaskan beliau tidak membuat kesimpulan bahawa dakwaan tersebut benar dan tidak menuduh mana-mana individu yang dinamakan telah melakukan kesalahan.
Namun kata beliau, sekiranya dakwaan itu tidak benar, perkara berkenaan juga perlu dijelaskan secara tuntas kerana dakwaan mengenai campur tangan kuasa asing boleh memberi kesan terhadap persepsi rakyat terhadap institusi demokrasi, kerajaan dan kedaulatan negara.
"Maka prinsipnya mudah. Jika benar, buktikan. Jika tidak benar, jelaskan. Jika ada kesalahan, ambil tindakan mengikut undang-undang."
Shahbudin berkata laporan polis yang dibuatnya bukan bertujuan supaya pihak berkuasa mempercayai mana-mana pihak, sebaliknya meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berdasarkan fakta dan bukti.
"Saya membuat laporan kerana saya percaya kedaulatan negara adalah tanggungjawab setiap rakyat, tanpa mengira parti. Saya tidak meminta PDRM mempercayai Pas. Saya meminta PDRM menyiasat berdasarkan fakta. Itulah fungsi pihak berkuasa," jelasnya.
Beliau berkata perbezaan politik adalah perkara biasa dalam demokrasi, namun campur tangan asing dalam menentukan siapa yang memerintah Malaysia merupakan perkara yang berbeza.
Sehubungan itu, beliau meminta PDRM meneliti kesahihan pertemuan berkenaan, pihak yang hadir, perkara yang dibincangkan serta bentuk bantuan yang dikatakan ditawarkan.
Shahbudin menegaskan Malaysia tidak seharusnya menjadi proksi kepada mana-mana kuasa asing dan menekankan bahawa pertukaran kerajaan melalui proses demokrasi adalah perkara biasa, tetapi campur tangan asing tidak wajar dinormalisasikan.




Comments