top of page

Dakwaan ADUN Pas tidak benar, mengelirukan rakyat - KP Pendidikan Tinggi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Datuk Dr Azlinda Azman menegaskan keutamaan sentiasa diberikan kepada rakyat tempatan di universiti awam
Datuk Dr Azlinda Azman menegaskan keutamaan sentiasa diberikan kepada rakyat tempatan di universiti awam

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menolak dakwaan seorang wakil rakyat pembangkang yang mendakwa kononnya pelajar tempatan dipinggirkan dalam kemasukan ke lima universiti penyelidikan (RU) negara.


Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Dr Azlinda Azman menegaskan, keutamaan sentiasa diberikan kepada rakyat tempatan, khususnya di peringkat ijazah sarjana muda yang turut menerima subsidi kerajaan.


"Bagi peringkat pra siswazah, 91.6 peratus pelajar di RU adalah anak tempatan, manakala pelajar antarabangsa hanya 8.4 peratus.


"Dan fokus utama adalah kepada program ijazah sarjana muda dengan subsidi disediakan kepada kepada anak tempatan sahaja," katanya dipetik pada sidang media khas kementerian itu di Putrajaya pada Rabu.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah sebelum ini mendakwa KPT gagal mendahulukan kepentingan rakyat tempatan.


Berucap pada Muktamar Tahunan Pas Ke-71, di Kedah baru-baru ini Exco Kedah itu turut mendakwa lima RU menawarkan 180,000 tempat, dan 21 peratus daripadanya diisi oleh pelajar asing.


"Tuduhan yang dibuat itu adalah tidak benar dan mengelirukan, khususnya berhubung dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia


"KPT kekal komited memastikan peluang anak tempatan tidak dinafikan, malah dasar pengantarabangsaan hanya mengukuhkan kedudukan universiti kita di mata dunia," tegas Dr Azlinda.


Beliau menjelaskan, sehingga 31 Disember 2024, jumlah pelajar tempatan di lima RU adalah seramai 180,024 orang dengan perincian seramai 141,636 orang (78.7 peratus) manakala 38,388 (21.3 peratus) lagi adalah pelajar asing bagi kedua-dua peringkat pra siswazah dan pasca siswazah.


Data kedua-dua peringkat penganjian itu juga tegasnya tidak boleh digabungkan kerana kedua-dua peringkat pengajian ini mempunyai dasar yang berbeza.


"Bagi peringkat pasca siswazah, ia bersifat terbuka, tiada had kemasukan pelajar antarabangsa kerana setiap universiti awam menerusi dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi giat mempromosikan kualiti dan kesohoran universiti masing-masing," jelasnya.

Sementara itu Azlinda turut mendedahkan bahawa ADUN Jitra itu sendiri pernah menyokong dasar pengambilan pelajar antarabangsa ketika menjadi Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).


"ADUN itu sendiri dalam satu kenyataan pada 11 Oktober 2022 ketika masih menjadi Naib Canselor memaklumkan bahawa universiti kendaliannya mencatatkan peningkatan kemasukan penuntut antarabangsa sebanyak 13.97 peratus bagi sesi 2022/2023.


"Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa beliau sendiri ketika menjadi Naib Canselor bersetuju dan mengaplikasikan dasar pengambilan pelajar antarabangsa di universiti berkenaan," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page