Dakwa suspek kes buli tiada kaitan punca kematian Zara - Peguam Negara
- Suara Keadilan

- Aug 19, 2025
- 2 min read

Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertahankan keputusan mendakwa beberapa suspek dalam kes buli membabitkan Allahyarhamah Zara Qairina dengan menegaskan ia adalah berasaskan bukti siasatan dan tidak berkaitan langsung dengan punca kematian mangsa.
AGC dalam kenyataan menjelaskan pertuduhan terhadap suspek dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan berkaitan perbuatan buli.
"Berdasarkan penelitian terhadap kertas siasatan, pertuduhan ini dibuat kerana ia merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina.
"Kenyataan peguam keluarga mangsa adalah bersifat spekulatif tanpa fakta yang tepat," menurut kenyataan tersebut hari ini.
AGC menegaskan keputusan itu bukan sahaja bersandarkan kepada bukti yang dikumpul hasil siasatan polis malah ia selari dengan prinsip undang-undang bahawa sebarang pertuduhan mesti dibina atas asas kukuh dan boleh dipertahankan di mahkamah.
Kenyataan ini dikeluarkan sehari selepas peguam yang mewakili ibu Zara, Noraida Lamat menggesa agar pendakwaan ditangguhkan sehingga selesai prosiding inkues.
Menurut peguam keluarga, pertuduhan terhadap suspek lebih wajar dibuat selepas keputusan inkues diumumkan, memandangkan ia bakal memberikan gambaran lebih jelas tentang punca sebenar kematian Zara.
Mereka turut mencadangkan supaya suspek didakwa di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan yang dianggap lebih sesuai memandangkan kesan serius akibat perbuatan buli.
Bagaimanapun, AGC menolak cadangan itu dengan menegaskan bahawa prosiding jenayah dan inkues adalah dua proses berasingan iaitu menumpukan kepada perbuatan jenayah buli manakala yang kedua kepada punca kematian.
Laporan media semalam AGC mengesahkan akan mendakwa lima suspek yang berusia di bawah 18 tahun atas kesalahan buli berkaitan kes kematian Zara esok.
Ini merujuk kepada langkah pendakwaan rasmi oleh AGC terhadap mereka yang terbabit dalam kes buli, di mana keputusan untuk mengenakan dakwaan telah dibuat berdasarkan penilaian kertas siasatan dari polis dan memastikan ia tidak menjejaskan siasatan serta prosiding inkues yang masih berjalan
Laporan sebelum ini memetik pakar undang-undang menjelaskan bahawa prosiding inkues lazimnya dijalankan bagi menentukan sama ada sesuatu kematian berpunca daripada perbuatan jenayah, kemalangan atau sebab-sebab lain.
Hasil inkues penting bagi menentukan sama ada perlu ada pertuduhan tambahan yang melibatkan kesalahan lebih berat.
Dalam konteks kes Zara, AGC mengambil pendirian untuk tidak menunggu inkues kerana menurut mereka, bukti mengenai perbuatan buli itu sendiri sudah mencukupi untuk tindakan undang-undang.
Ini bermakna sebarang kesalahan lain berkaitan kematian mangsa hanya akan diputuskan selepas inkues selesai.









Comments