top of page

'Cukuplah Amanat Hadi, jangan tambah kekeliruan menjelang PRN'



Presiden Pas Hj Hadi Awang yang memulakan kempen Pilihan Raya Negeri dengan kembali menyerang DAP dinasihatkan mengubah kepada taktik lain.


Menurut Timbalan Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, cara serangan Hj Hadi kebelakangan ini dilihat telah ketinggalan zaman kerana mengulang isu lama dan telah terbukti DAP bukan sebagaimana yang dimomokkan beliau pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu.


"Tindakan Tan Sri Hj Hadi Awang menyerang DAP dalam ruangan Minda Presiden PAS semalam sekadar pengulang propaganda lapuk, memomokkan DAP dengan pelbagai tuduhan mengarut.


"Isu yang sengaja dibangkitkan itu sekadar tindak tanduk meraih publisiti murahan menjelang PRN (bulan hadapan). Apabila tiada modal berpolitik, maka diulang-ulanglah 'surat khabar lama'," katanya dalam satu kenyataan.


Tegas Tengku Zulpuri, isu DAP menolak Raja Melayu atau hak istimewa Melayu dan sebagainya hanyalah retorik pemimpin Pas sedangkan realitinya rakyat yang berfikiran waras mampu membezakan antara realiti dan ucapan pemimpin Pas.


Bagi beliau, Hj Hadi sendiri sepatutnya mengingat kembali Deklarasi Shah Alam pada 2012 era Pakatan Rakyat yang mana ketika itu beliau dan pemimpin tertinggi DAP Lim Kit Siang telah menyetujui secara bersama berkenaan perkara perkara menyentuh hak orang Melayu yang diiktiraf oleh DAP, Pas dan KEADILAN.


"DAP (dalam deklarasi itu) jelas menyatakan komitmen menjunjung Institusi Diraja, hak istimewa Melayu dan Islam sebagai agama rasmi. Komitmen ini telah dinyatakan secara jelas dalam deklarasi 2012.


"Saya melihat tindakan terbaharu (menyerang DAP) ini hanya bertujuan menutup beberapa isu berkaitan negeri yang ditadbir Pas dan perkembangan semasa," katanya.


Sehubungan itu, ADUN Tras berkenaan menyelar Hj Hadi kerana terus memesongkan pemikiran orang Melayu dengan isu isu basi.


Sedangkan katanya, Pas mencaci DAP hanya untuk menutup isu kegagalan menyediakan bekalan air bersih di Kelantan, masalah bekalan air di Kedah dan skandal menjual tanah kerajaan kepada NGO pro Pas di Terengganu.


"Beliau mahu mengalih perhatian rakyat berhubung skandal air bersih Kelantan dan ketempangan Pengurusan AKSB.


"Keduanya, untuk menutup isu penjualan tanah di Terengganu yang nilainya diberikan terlalu rendah kepada NGO.


"Dan ketiga berkaitan penganugerahan gelaran Tan Sri kepada pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang oleh Yang Di Pertuan Agong. Keterbukaan Kit Siang menerima anugerah tersebut dilihat amat positif.


"Strategi memomokkan DAP yang Pas gunakan kita boleh baca, sama saja. Isu 13 Mei dimainkan, walaupun tulisan tersebut seolah-olah ditujukan kepada orang Cina dan India, sasaran pembacanya ialah orang Melayu yang terdiri daripada kelompok atas pagar dan penyokong setia UMNO. Pas menagih simpati orang UMNO dengan menggambarkan seolah-olah semua kesalahan terletak di bahu DAP," katanya.


Justeru, Tengku Zulpuri menasihatkan pemimpin Pas khususnya Hj Hadi agar segera menghentikan taktik lapuk agama sempit dan perkauman


Katanya, rakyat tidak lupa Pas pernah berkerjasama dnegan DAP sejak 1990 sehingga 2014 dan ketika itu tiada sebarang masalah di antara penyokong parti berkenaan dengan perjuangan DAP.


"Rakyat tahu Pas pernah bekerjasama dengan DAP dalam Angkatan Perpaduan Ummah - Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.


"Mereka tahu dinamik politik sentiasa berubah, mereka tak boleh berseorangan. Bila bersama DAP, semua okay, bila tidak sekapal, semua salah DAP.


"Dalam sebuah negara demokrasi, sebagai pembangkang, Pas perlu menjadi pembangkang yang bijak dan kompeten. Pas perlu memikirkan saranan titah Tuanku Agong untuk membina semula ekonomi Malaysia dan mengeratkan hubungan antara kaum.


"Cukuplah dengan kesesatan 'fatwa' 'Amanat Hadi' yang menjadi saksi perpecahan Melayu dan meruntuhkan institusi kekeluargaan. Cukup-cukuplah," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page