Cukai SST diperluas bantu kurangkan defisit fiskal - Dr Barjoyai
- Suara Keadilan
- Jun 11
- 1 min read
Updated: Jun 12

Oleh: Akmal Manaf
Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas berupaya menjana hasil tambahan kepada kerajaan, kata Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai ketika diminta mengulas langkah terbaharu Kerajaan MADANI itu.
Menurut Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) itu, SST berpotensi menjadi lebih produktif berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam membantu mengurangkan defisit fiskal.
"Ia memandangkan kerajaan mensasarkan untuk mencapai kadar defisit belanjawan kurang daripada 3% menjelang tahun 2028.
"Sebelum ini apabila kita bertukar daripada GST kepada SST, SST hanya menjana RM29 bilion (hasil), sedangkan GST menjana lebih RM42 bilion.
"Dengan pembaharuan (perluasan cukai) ini, kerajaan menjangkakan untuk mengutip lebih RM52 bilion dalam SST, dan ia merupakan satu jumlah yang lebih besar daripada GST terdahulu.
"Jadi saya berpandangan, SST tambahan ini berupaya menjana (hasil tambahan kepada kerajaan)," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pada masa sama kerajaan juga berharap untuk menjadikan SST sebagai cukai yang lebih progresif.
Ujarnya, pada masa ini cukai tidak langsung seperti SST dianggap sebagai cukai yang regresif iaitu kadar cukai yang sama dikenakan kepada semua golongan.
Namun, dengan perluasan SST terdapat cukai dikenakan secara bersasar terhadap barangan yang dianggap tidak digunakan oleh kebanyakan kelas masyarakat bawahan, dan dikategorikan sebagai mewah.
Hal itu memperlihatkan barangan pilihan tertentu antaranya ikan salmon, king crab, buah-buahan import yang akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus, sementara beberapa barangan pilihan premium dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus seperti basikal lumba, lukisan tangan antik dan sebagainya.
Mulai 1 Julai ini, Kerajaan MADANI akan melaksanakan semakan kadar dan perluasan skop SST secara bersasar.
Коментари