Covid 19 pantas merebak, rangka pelan kecemasan baharu - Dr Lee Boon Chye



Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dicadang merangka pelan kecemasan yang baharu berikutan peningkatan mendadak jumlah jangkitan harian Covid 19.


Bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, kes harian melebihi 2,500 pesakit dengan kes aktif sebanyak 24,347 sehingga semalam memungkinkan sistem jagaan kesihatan di sektor awam berada di tahap genting dan tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang kian meningkat.


Katanya, sekiranya pelan kecemasan baharu tidak dirangka sesegera mungkin maka jumlah kes harian akan melepasi 3,000 sehari sebelum pertengahan bulan Januari 2021.


"Saya cadangkan dilaksanakan 3 langkah serta merta supaya situasi ini tidak memuncak sehingga menjadi tidak terkawal.


"Iaitu, menetapkan sasaran supaya setiap kontak rapat dikesan, diuji dan diasingkan dalam masa 48 jam. Ini akan menyekat penularan virus dan mengurangkan jumlah kes harian serta kebolehjangkitan (R0).


"Ini boleh dilakukan melalui penambahan 10,000 anggota tambahan dalam perkhidmatan kesihatan awam untuk pengesanan kontak. Satu rangkaian pengesanan kontak boleh ditubuhkan dengan kerjasama pemimpin masyarakat seperti ketua-ketua Kampung, Ahli Majlis PBT dan sebagainya," kata Dr Lee dalam satu kenyataan.


Menurut Ahli Parlimen Gopeng itu, cadangan berkenaan telah pun diutarakan beliau sejak 28 April tahun lalu kepada kerajaan PN namun tidak disambut baik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Selain itu, Dr Lee juga mencadangkan agar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksana dalam kawasan-kawasan tertentu yang serius penularan wabak Covid 19 sebagai 'pemutus litar'.


"Kerajaan juga perlu melaksanakan PKPD selama dua minggu sebagai ‘circuit breaker’ di kawasan-kawasan tertentu di mana jangkitan kommuniti berlaku dan tidak terkawal.


"Tumpu kepada pemberian vaksin secara percuma dan secara sukarela kepada kumpulan sasar sahaja. Kumpulan sasar terdiri daripada mereka yang berisiko tinggi dijangkiti Covid 19 dan mereka yang berisiko komplikasi apabila dijangkiti.


"Ini termasuk Pasukan di KKM, penguatkuasa (Polis/ATM), Bomba, Petugas di penjara dan pusat tahanan serta pusat jagaan, guru, warga emas dan mereka yang mengidapi penyakit kronik," katanya lagi.


Dr Lee juga menyarankan agar kerajaan memberi ruang kepada doktor swasta untuk memberi vaksin mengikut permintaan.


"Menyasarkan ‘herd immunity’ di peringkat sekarang adalah satu langkah yang tidak waras dan tidak praktikal," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
1638
3
1449
Total
349,610
1286
333,892

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
634,746
6,993
432,526
Total
130,914,490
2,852,527
105,374,969

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER