Choon Man Timb. Menteri: Pengiktirafan dedikasi, komitmen berterusan - Abun
- Suara Keadilan
- 31 minutes ago
- 1 min read

Pelantikan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya disambut baik Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang merakamkan tahniah kepada Choon Man dan menyifatkan pelantikan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap dedikasi serta komitmen berterusan ahli politik muda itu dalam berkhidmat kepada rakyat.
"Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kepimpinan, dedikasi serta komitmen beliau yang berterusan dalam perkhidmatan kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Abun Sui, pelantikan itu juga penting dalam mengetengahkan keunikan dan kekayaan warisan budaya di Sarawak serta Malaysia Timur secara keseluruhan, selaras dengan potensi besar sektor pelancongan negara.
"Saya yakin YB Chiew Choon Man akan melaksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya demi kepentingan Malaysia amnya dan Sarawak khasnya, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan tadbir urus berintegriti, inklusif dan berpaksikan rakyat," ujarnya.
Abun yang juga Pengerusi Biro NCR Majlis Pimpinan Negeri Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kepercayaan dan kepimpinan beliau dalam membentuk barisan pentadbiran negara yang berwibawa serta inklusif.
"Dalam masa yang sama, saya dengan penuh takzim menjunjung kasih ke hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas limpah perkenan Baginda memperkenankan pelantikan ini, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan demi kesejahteraan rakyat serta negara," katanya lagi.





