Chatbot Sebenarnya.my carian pantas sahkan berita guna teknologi AI
- Suara Keadilan
- Jan 28
- 1 min read

Aplikasi carian pantas untuk pengguna media sosial menentukan sama ada sesuatu berita atau kandungan benar atau palsu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dilancarkan hari ini.
Aplikasi chatbot AIFA atau 'Artificial Intelligence Fact-check Assistant' diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu dirangkaikan dengan laman web Sebenarnya.my yang merupakan sebuah pusat sehenti bagi rakyat Malaysia menyemak sebelum berkongsi berita yang tidak ditentukan kesahihannya.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Chatbot boleh diakses menerusi aplikasi WhatsApp dan portal Sebenarnya.my. Ia tersedia dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
"AIFA adalah alat penting untuk memperkasakan rakyat dengan maklumat yang disahkan oleh pihak berwajib dan mengurangkan impak buruk daripada maklumat palsu yang tersebar.
"Dengan kemudahan ini, MCMC menawarkan kepada rakyat cara yang mudah, pantas dan boleh dipercayai untuk mengesahkan maklumat yang mereka terima atau temui secara dalam talian," katanya dipetik BH.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran ChatBot Sebenarnya.my di Cyberjaya.
AIFA juga, kata beliau, berperanan meningkatkan fungsi Sebenarnya.my, dengan tiga objektif utama iaitu membantu rakyat menyemak dan mendapatkan maklumat sahih dengan cepat dan mudah, mempercepat maklum balas terhadap maklumat tidak sahih dalam talian dan memperkukuh peranan portal itu dalam menangani penyebaran maklumat palsu di Malaysia.
Aplikasi itu direka secara mesra pengguna dan boleh diakses 24 jam menerusi portal Sebenarnya.my dan aplikasi WhatsApp serta ia menggunakan algoritma dan pembelajaran mesin untuk memadankan maklumat dengan sumber yang boleh dipercayai, seterusnya menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih secara pantas kepada pengguna.
Menurut Fahmi lagi, ketika ini AIFA hanya menerima input teks namun ia akan diperluaskan untuk format lain seperti video.
"Pelancaran ini amat penting dan bermakna dalam usaha menggalakkan rakyat menyemak segala maklumat yang belum disahkan," katanya.
Situs kabar4d mainkan game slot dan dapatkan hadiah bernilai fantastis!