Capal istimewa Pak Cik Hairi buat PMX di Permatang Pauh
- Suara Keadilan

- 14 minutes ago
- 1 min read

Majlis Maulid Akbar Permatang Pauh menyaksikan detik penuh bermakna apabila seorang penduduk dari Kampung Paya, Butterworth menghadiahkan sepasang capal tradisional hasil buatan tangannya sendiri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pemberian itu cukup istimewa memandangkan capal tradisional sememangnya sinonim dengan penampilan bersahaja Perdana Menteri sejak zaman mudanya.
Menurut Zulkifli, detik tersebut berlaku ketika Pak Cik Hairi dari Kampung Paya menyampaikan sepasang capal khas kepada Anwar dalam majlis berkenaan.
"Satu detik penuh bermakna dalam Majlis Maulid Akbar Permatang Pauh tatkala Pak Cik Hairi dari Kampung Paya, Butterworth menghadiahkan sepasang capal khas hasil buatan tangan beliau sendiri, kepada PMX," katanya dalam hantaran di media sosial.
Lebih menarik, Zulkifli berkata Anwar bukan sahaja terus menyarungkan capal baharu berkenaan, malah membalas pemberian itu dengan menghadiahkan capal miliknya sendiri kepada Pak Cik Hairi.

"Lebih menyentuh hati, PMX bukan sahaja terus menyarungkan capal baharu yang indah seninya itu, malah menyunting rasa hormat dengan membalas semula pemberian tersebut menerusi penyerahan capal milik beliau sendiri kepada Pak Cik Hairi,” katanya.
Beliau berkata pertukaran pemberian itu menggambarkan nilai keikhlasan, penghargaan dan ukhuwah yang wajar dipupuk dalam masyarakat.
"Sesungguhnya, budi yang disemai dengan keikhlasan akan sentiasa membuahkan keindahan ukhuwah dan keharmonian sesama insan," katanya lagi.




Comments