Canal City bukan jawapan jika tidak mampu tampung curahan hujan 300mm



Banjir luar biasa yang melanda Selangor pada 18 Disember lalu lebih kepada fenomena perubahan iklim atau climate change dan memerlukan kajian mendalam sebelum memutuskan pembinaan insfrastruktur sesuai pada masa hadapan.


Sedangkan projek Canal City yang dicadangkan oleh pentadbiran BN sebelum ini adalah lencongan air dari Sungai Klang ke Sungai Langat sebanyak 30% pada waktu puncak, yang mungkin tidak lagi sesuai berdasarkan perkembangan semasa.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, apa pun projek untuk mengatasi banjir harus mengambil kira kemampuan 'mengeluarkan' curahan hujan sebanyak 300mm hingga 400mm dalam masa beberapa jam, kerana projek tebatan banjir dan saliran sedia ada hanya boleh menampung curahan hujan sekitar 100mm sahaja.


"Sebagaimana yang ditetapkan Yang di-Pertuan Agong dalam lawatan Baginda dan perkenan Baginda menziarahi sekitar kawasan Sri Muda (yang mana Baginda) mahu pihak Persekutuan dan Kerajaan Negeri duduk bersama merangka satu pelan agar banjir tidak akan berulang kembali.


"Cuma kalau Canal City jawapannya, kita kena melihat jumlah air yang boleh ditampung untuk satu satu kejadian turun hujan 300mm atau 400mm. Kita sebutlah namanya Canal City ke, Tower City ke, ia tidak dapat menyelesaikan.


"Isunya bagaimana pada saat tertentu ia boleh menampung lebih 100mm hujan dari projek (tebatan banjir atau saliran) yang kita nak laksanakan. Ia termasuk projek Persekutuan yang kita nak laksanakan dalam RMK 12 berjumlah lebih RM1.5 bilion untuk mengatasi masalah banjir di Selangor," katanya.


Bagi Amirudin, jawapan yang paling tepat adalah melakukan kajian mendalam berdasarkan beberapa siri banjir bandang yang melanda negara akibat perubahan iklim dalam tempoh sedekad kebelakangan ini.


"Pada ketika ini kita kena rujuk beberapa kejadian pada 2006 di Johor, kejadian banjir di Kelantan 2014 dan banjir di Pulau Pinang 2017, kesemua kejadian ini mencatatkan tragedi dan kisah yang sama. Iaitu jumlah turun hujan yang luar biasa dan melibatkan kawasan yang jarang ditenggelami air, tenggelam.


"Cuma kali ini dia jatuh di Selangor dan di Pahang," katanya.


Kelmarin, bekas Perdana Menteri Najib Razak mempersoalkan tindakan mantan MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim membatalkan projek Canal City pada 2009, yang menurut beliau adalah solusi kepada masalah banjir di Selangor.


Sedangkan model pembangunan terusan tersebut berdasarkan banjir di Selangor sebelum tahun 2000 yang masih tidak wujud impak climate change.

0 comments