Calon PRN Sabah mesti berani tolak politik cara lama — Mustapha Sakmud
- Suara Keadilan
- 19 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Semua calon KEADILAN bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah (PRN) ke-17 diingatkan bahawa mereka bukan sekadar mewakili parti tetapi mewakili Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata, calon KEADILAN yang diketengahkan mesti berani memperjuangkan dasar yang membela golongan marhaen, memperkukuh tadbir urus negeri dan menolak politik lama berasaskan kepentingan diri.
"Semua calon bukan sekadar mewakili parti, tetapi mewakili Perdana Menteri. Mereka wajib membawa semangat reformasi yang menjadi tunjang perjuangan KEADILAN sejak lebih dua dekad lalu.
"Kita ingin menggantikan politik lama dengan politik nilai, integriti dan kebertanggungjawaban. Misi reformasi adalah misi besar untuk mengubah budaya kuasa, menegakkan keadilan sosial serta memastikan hasil negeri benar-benar dinikmati rakyat," ujarnya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menerusi hantaran sama, Mustapha juga menyeru jentera parti agar berusaha keras membawa suara rakyat dan memastikan dasar reformasi diterjemah dalam bentuk tindakan serta hasil yang nyata untuk rakyat Sabah.
"Semua calon dan jentera parti terus mara membawa panji reformasi demi membina Sabah yang makmur.
"Inilah masanya untuk mengangkat martabat Sabah agar setiap anak muda, petani, nelayan, penjawat awam dan usahawan kecil dapat menikmati kemajuan yang adil dan saksama. Harapan urang Sabah adalah Sabah Maju Bersama Madani," tegasnya.





