Kerajaan Perpaduan akan memperkenal calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu sebagai calon mewakili kerajaan dan bukan atas nama parti dalam gabungan itu.
Perkara itu dijelaskan Pengerusi Penyelarasan Gerak Kerja Jentera bagi PRK itu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam satu sidang media di Bukit Jalil pada Khamis.
"Calon itu daripada Kerajaan Perpaduan, bukan calon dianggap atas nama parti… kita akan memperkenalkan calon itu (sebagai) calon Kerajaan Perpaduan," katanya dipetik.
Sementara itu tambah beliau, pihaknya juga telah melakukan persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya tersebut dengan mengambil kira aspek jumlah pengundi, kedudukan lokaliti dan taburan penduduk.
"Kita akan susun gerak kerja, dan program-program yang baik untuk meyakinkan rakyat, membawa misi politik yang baik iaitu 'politik kesederhanaan' daripada kerajaan Madani," tambahnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.
PRK itu diadakan pada 11 Mei ini susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Kee Hiong, 58, menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia akibat kanser.
Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia pada Rabu memutuskan Zambry dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Steven Sim diberi tanggungjawab bersama menjadi Pengerusi Penyelarasan Gerak Kerja Jentera PRK Kuala Kubu Baharu.
Comments