Calon PH Bentong janji perjuangkan bantuan bencana alam masih 'tersangkut'
- Suara Keadilan
- Nov 7, 2022
- 2 min read

Meskipun banjir besar yang melanda Pahang telah berlalu hampir setahun, namun ada mangsa banjir di parlimen Bentong, Pahang yang belum menerima bantuan baik pulih rumah sepenuhnya.
Menurut calon Pakatan Harapan (PH) parlimen Bentong, Young Syefura Othman (gambar, tengah) sikap kerajaan BN mengabaikan bantuan kepada mangsa banjir itu tidak sepatutnya berlaku.
Oleh itu, beliau berjanji akan berusaha sedaya upaya mendapatkan bantuan kepada mangsa mangsa banjir berkenaan sama ada daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.
"Antara aduan yang kami terima adalah berkenaan bantuan baik pulih rumah yang masih belum diterima.
"Biarpun bantuan ini telah dijanjikan mantan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, ada penduduk yang telah menunggu lebih 10 bulan tanpa sebarang khabar berita mengenai perkembangannya.
"Selain itu, ada juga yang menyampaikan kepada kami bahawa bantuan yang diberikan tidak mencukupi berbanding kerosakan telah mereka alami," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sefura, PH memandang berat penderitaan penduduk dan akan mengusahakan bantuan pemulihan kepada mereka yang terbabit.
"Kerajaan HARAPAN mengutamakan kesejahteraan rakyat dan akan menumpukan segala kudrat ke arah langkah pemulihan bencana, terutamanya bagi golongan terkesan.
"Dalam Tawaran HARAPAN, kami bertekad meningkatkan bayaran bantuan mengikut nilai kerugian sehingga RM50,000 untuk setiap rumah yang terkesan akibat bencana bagi meringankan beban mereka.
"Kerajaan HARAPAN juga akan menambah baik kesiapsiagaan banjir dan bencana dengan memperkukuh operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan menyelaras tindak balas di setiap peringkat kerajaan bagi memperkemas usaha mencegah, menyelamat, menyalur bantuan dan mengurus pemulihan pasca bencana," katanya
Jelas Sefura lagi, Pilihan Raya Umum (PRU)15 ini bukan sahaja medan untuk memilih wakil rakyat yang berkhidmat dan berwibawa, tetapi juga peluang untuk rakyat memilih kerajaan yang berfungsi dan mengambil berat tentang nasib dan kebajikan mereka.
"Oleh itu, kami menyeru agar pengundi beramai-ramai turun mengundi pada 19 November ini untuk memenangkan calon-calon HARAPAN di kerusi-kerusi Parlimen dan DUN agar kita boleh sama-sama merealisasikan tawaran-tawaran yang telah kita umumkan dalam Tawaran HARAPAN demi membina Malaysia yang lebih sejahtera," katanya.
Rancangan penuh HARAPAN bagi meningkatkan daya tahan bencana negara boleh didapati di https://kitaboleh.my/
Young Syefura akan mempertahankan kerusi parlimen Bentong yang dimenangi buat pertama kali oleh Wong Teck pada PRU 14 lalu.
Comments