
Pemimpin KEADILAN asal Pahang, Lee Chean Chung @ Alee dikenali sebagai penyandang jawatan Bendahari Agung KEADILAN sejak 2019 lalu.
Namun tidak banyak yang mengetahui beliau juga aktif mewujudkan program membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terdiri daripada anggota KEADILAN dan rakyat biasa.
Berbekalkan rekod kejayaan program keusahawanan tersebut Cheang Chung mengambil bahagian bertanding sebagai ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada Pemilihan KEADILAN kali ini.

"Tiga tahun saya sebagai Bendahari Agung, kami telah melancarkan Geran Impak KEADILAN (GIK), Unit Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Anugerah Usahawan KEADILAN bagi membantu akar umbi dan anggota kita (melibatkan diri dalam perniagaan).
"Pejabat saya juga telah menjadikan KEADILAN parti politik pertama di Malaysia yang mempunyai kedai online di Shopee.
"Saya pohon para perwakilan memberikan peluang kepada saya untuk memperkuatkan roh politik progresif, memantapkan organisasi parti, serta membela kepentingan akar umbi dengan mengundi sebagai ahli MPP," katanya.
Selain itu, calon nombor 53 itu juga mengakui beliau berasal dari kawasan kubu kebal Umno tetapi dengan usaha keras telah berjaya menjadikan Cabang Indera Mahkota sebagai cabang yang aktif dan banyak aktiviti untuk anggota akar umbi.
"Selepas menerajui jawatan Ketua Cabang Indera Mahkota dan Ketua Ranting Air Putih selama 3 penggal, rakan-rakan dan saya telah menjadikan Cabang Indera Mahkota antara cabang yang aktif dengan pengeluaran (kemasukan) anggota yang tertinggi di Pahang.
"Walaupun berhadapan dengan pengkhianatan Ahli Parlimen yang melompat, KEADILAN terus bertapak dan berkembang di sini," katanya lagi.
Justeru, ADUN Semambu itu berharap degan penyertaan sebagai ahli MPP dapat mengusulkan beberapa strategi untuk perkembangan KEADILAN pada tahun tahun mendatang.