top of page

Calon KEADILAN lebih berpotensi menang di Pandan - Ahli akademik

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 16 hours ago
  • 2 min read

Seorang ahli akademik menyuarakan meyakinan bahawa Parlimen Pandan akan kekal diwakili calon KEADILAN sekiranya ‘figura yang tepat’ diketengahkan di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.


Misrinah Misban dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, pertimbangan pengundi sewaktu mengundi lazimnya lebih rasional dengan melihat neraca untung rugi, kestabilan dan jaminan masa depan.


Oleh itu jelasnya, walaupun Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat lebih bijak membina gelombang dan mencipta persepsi bahawa beliau sentiasa membawa idea baharu, penilaian akhir pengundi bukan kepada siapa yang paling lantang bercakap tetapi kepada siapa yang berjaya menterjemahkan perubahan ketika memegang kuasa.


"Jika KEADILAN mampu menampilkan seorang “figura yang tepat” di Pandan yang lebih tenang, meyakinkan, boleh bekerja dengan kerajaan dan mempunyai imej stabil serta mesra komuniti bandar, maka kemungkinan besar sebahagian besar pengundi Cina akan melihat pilihan itu sebagai pilihan yang lebih selamat untuk masa depan ekonomi mereka," katanya dalam satu kenyataan.


Sementara itu katanya, walaupun Rafizi mendakwa Parti Bersama Malaysia (Bersama) mempunyai sekitar 15 peratus ahli berbangsa Cina, angka keahlian tidak semestinya diterjemahkan kepada keyakinan massa.


Pengundi Cina tegas beliau tidak mudah terikat kepada sentimental politik, sebaliknya mereka melihat politik secara praktikal dan mengundi berdasarkan siapa yang mampu menjaga kestabilan ekonomi dan ada akses kepada pembangunan.


"Persoalan yang akan diambil kira oleh pengundi Cina, termasuk di Pandan, ialah apakah ketika Rafizi berada dalam kerajaan dan memegang jawatan penting sebagai Menteri Ekonomi ada perubahan besar yang benar-benar dirasai rakyat?


"Apakah ada dasar yang begitu signifikan sehingga pengundi merasakan kehidupan mereka berubah? Dan lebih penting apakah ada pencapaian ekonomi yang menyentuh denyut nadi pengundi Cina khasnya dalam isu kos sara hidup, peluang perniagaan dan kestabilan ekonomi?

"Politik hari ini bukan lagi sekadar berkisar mengenai keberanian seseorang mengkritik kerajaan tetapi lebih kepada kemampuan beliau untuk menjaga kepentingan dan masa depan pengundi.


"Dan inilah masalah terbesar Rafizi di Pandan, beliau mungkin akan mampu menguasai pentas ceramah tetapi realitinya majoriti pengundi senyap, khasnya bangsa Cina, sudah mula bersikap pesimis dan sinikal dengan bertanya jika ketika beliau berkuasa dalam kerajaan pun tiada perubahan besar yang mampu beliau bawa kepada pengundi Pandan, maka apa mungkin beliau akan mampu lakukan perkara lebih besar sebagai pembangkang," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page