
Oleh: Abdullah Zaid
"Memang jadi cabaran buat saya kehilangan bapa tercinta pada hari penamaan calon, namun saya harap moga-moga kemenangan nanti menjadi hadiah buatnya".
Demikian harapan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Sidam Bau Wong Bau Ek ketika ditanya mengenai perkhabaran duka atas pemergian bapa tercintanya, Bau Ek Endin Boon akibat sakit tua pada 31 Julai lalu.
Menurutnya, biarpun masih terkesan kehilangan insan tersayang itu namun kempen pilihan raya tetap diteruskan seperti biasa bagi menunaikan tanggungjawab mengekalkan kemenangan kerusi tradisi KEADILAN itu.
"Buat masa ini saya banyak berkempen di kawasan tumpuan, antaranya di pasar-pasar sekitar Sidam.
"Edaran risalah pun kita buat di kawasan-kawasan kampung dan rumah ke rumah supaya pengundi berasa lebih dekat untuk memilih kita," katanya kepada Suara Keadilan.
Untuk rekod, Bau Wong merupakan bekas Pegawai Khas kepada dua wakil rakyat Sungai Petani sejak 2018.
Beliau yang pernah membantu Tan Sri Johari Abdul dari tahun 2018 hingga 2022, meneruskan khidmat tersebut kepada Dr Mohammed Taufiq Johari selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Pada PRU14, kerusi DUN Sidam telah dimenangi Dr Robert Ling Kui Ee mewakili KEADILAN dengan majoriti 10,860 namun bertindak keluar parti menyokong PN.