top of page

Cadangan tubuh tribunal kes buli kanak-kanak ke Kabinet - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 20
  • 2 min read

PM setuju ditubuhkan tribunal khas bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak.
PM setuju ditubuhkan tribunal khas bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak.

Cadangan untuk menubuhkan tribunal khas bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak mendapat perhatian serius kerajaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan perkara itu akan dibincangkan di Kabinet.


"Kita akan bincang di Kabinet," katanya ringkas ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.


Turut hadir iMenteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.


Cadangan penubuhan tribunal itu akan dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang sebelum ini menjelaskan kerajaan sedang meneliti keperluan menggubal Akta Anti-Buli.


Menurut Azalina, buat masa ini tiada definisi khusus atau hukuman jelas berkaitan kesalahan buli dalam mana-mana peruntukan undang-undang sekali gus menyukarkan penguatkuasaan.


"Perkataan ‘buli’ tidak dinyatakan secara khusus dalam Kanun Keseksaan, tetapi saya agak lega apabila kita telah meminda dan memperkenalkan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan," katanya pada satu majlis semalam.


Azalina dipetik sebagai berkata tribunal khas boleh menyediakan mekanisme lebih cepat dan sesuai untuk mendengar kes buli yang kebanyakannya melibatkan kanak-kanak sebagai pelaku atau mangsa, berbeza dengan proses mahkamah yang lebih berat.


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik cadangan itu dengan menegaskan bahawa peruntukan sedia ada seperti Akta Kanak-Kanak 2001 kurang sesuai digunakan kerana ia tidak secara spesifik menangani isu buli.


SUHAKAM berpendapat pendekatan lebih mesra kanak-kanak perlu diberi keutamaan dalam kes sebegini.


Cadangan tribunal turut mendapat perhatian masyarakat awam, pihak sekolah dan aktivis pendidikan yang melihatnya sebagai satu reformasi undang-undang penting.


Isu ini mendapat momentum selepas kes kematian tragis Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu yang dilaporkan terbabit dalam insiden buli di sebuah asrama sekolah di Papar, Sabah, bulan lalu.


Kes itu mencetuskan kemarahan masyarakat dan desakan agar kerajaan mengambil tindakan tegas menangani budaya buli.


Keluarga Zara melalui peguam mereka juga meminta agar proses pendakwaan terhadap suspek ditangguhkan sehingga selesai prosiding inkues, bagi memastikan punca sebenar kematian anak mereka didedahkan sepenuhnya.


Jika diluluskan, tribunal anti-buli bakal menjadi langkah sulung Malaysia dalam menyediakan ruang undang-undang khusus bagi menangani kes buli, dengan tumpuan kepada penyelesaian cepat, perlindungan kanak-kanak serta pencegahan jangka panjang.


Bagi pemerhati, inisiatif ini bukan sekadar soal undang-undang baharu tetapi juga mesej bahawa kerajaan serius memutuskan rantaian buli yang telah sekian lama menghantui sekolah dan institusi pendidikan negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page