Cadangan tingkat kuota BUDI95 untuk p-hailing dibincang - PM
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI akan membincangkan cadangan meningkatkan had kuota petrol bersubsidi BUDI95 bagi penghantar makanan p-hailing kepada 250 liter.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu tercetus hasil inisiatif beliau sendiri turun padang untuk bertanya dan mendengar keluhan golongan penghantar makanan mengenai kuota sedia ada.
Tambahnya, langkah bagi membantu golongan pekerja gig itu bakal dibawakan ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Selasa ini.
"Mesyuarat hari Selasa ini, saya akan bawa dalam mesyuarat, bincang. Jadi saya minta saudara Fahmi (Menteri Komunikasi) ingatkan, kita cari jalan sekurang-kurangnya naikkan lagi 50 liter," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Negeri Johor di Dewan Terbuka PPR Taman Desa Mutiara, di Johor Bahru pada Ahad.
Mac lalu, kerajaan memutuskan untuk menyelaraskan kelayakan subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April, berbanding 300 liter sebelum ini.
Anwar memberitahu, keputusan itu diambil susulan kesan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat terhadap bekalan dan harga tenaga global.
Sementara itu pada majlis sama, Anwar mengumumkan kelulusan peruntukan segera RM1 juta bagi membiayai kerja baik pulih mendesak di kawasan PPR Taman Desa Mutiara
"Saya luluskan RM1 juta dulu... sekurang-kurangnya apa yang mendesak dulu. Kalau yang pecah atau sebagainya, kita baik pulih," katanya.




Comments